NILAI, 19 April 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima sumbangan mock cheque zakat berjumlah RM 25,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada 18 April, semalam.

Naib Canselor USIM, YBhg Prof Dato Dr Musa Ahmad, berkata USIM sedang menuju hasrat bagi menjuarai bidang wakaf dan zakat dalam kalangan institusi awam. Justeru, kerjasama strategik dengan BIMB dilihat salah satu strategi yang mampu menjamin kelestarian ummah serta pembangunan pelajar.

“Sumbangan zakat yang diterima ini secara tidak langsung dapat meringankan beban staf dan pelajar-pelajar USIM yang dalam kategori B40. Diharapkan agar akan ada program hiliran lain yang boleh diadakan bersama seperti baru-baru ini yang dianjurkan di USIM iaitu Majlis Graduasi Pensijilan BIMB-USIM. Selain itu, galakan juga diberikan kepada pusat tanggungjawab (PTj) USIM untuk melaksanakan program CSR bersama mana-mana rakan strategik dalam usaha menyantuni komuniti,” ucapnya.

“Di USIM, kita sentiasa mempelbagaikan aktiviti kemasyarakatan serta menawarkan khidmat bantuan dan sumbangan dalam bentuk tenaga, masa pada masa yang sama akan membawa kepada pembangunan USIM. Sehingga kini USIM telah menerima sumbangan daripada BIMB sebanyak RM 175ribu,” tambahnya lagi.

Wakil daripada BIMB, En Mohamed Zaki Atip, Regional Deposit Business Manager dalam ucapannya berkata BIMB juga mengambil berat serta menitikberatkan kemajuan ummah kepada masyarakat. Justeru, kerjasama dengan USIM boleh menyokong usaha bersama dalam menyantuni komuniti asnaf dan masyarakat.

Menurut Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM, Dr Mushaddad Hasbullah, sumbangan zakat korporat sebanyak RM 25,000 melalui PWZ kepada USIM untuk diagihkan kepada golongan asnaf. Tambahnya, PWZ sentiasa berusaha untuk mendapatkan sumbangan zakat, wakaf dan infaq daripada pihak luar dalam kalangan institusi perbankan dan sebagainya.

PWZ merupakan PTj di USIM yang menjadi penggerak dan penganjur utama kepada amalan bersedekah dan mengimarahkan ilmu melalui sumbangan wakaf, zakat dan infaq untuk kebajikan dan dakwah. Sebagai contoh, PWZ menyantuni warga masyarakat melalui aktiviti CSR kepada golongan yang ditimpa musibah dan baru-baru ini telah diadakan program pengisian petrol percuma kepada penduduk di sekitar Nilai dengan kerjasama stesen Petronas Nilai.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBhg Prof Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Pengurusan Universiti, wakil-wakil daripada BIMB dan wakil Dekan Fakulti.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan