SEREMBAN 13 Mac – Institut Quran Braille (IQBraille) telah ditubuhkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan matlamat untuk muncul sebagai sebuah pusat kecemerlangan di universiti tersebut.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Muhamad Muda berkata, IQBraille ditubuhkan atas rasa tanggungjawab USIM dalam memartabatkan pendidikan Islam bagi orang kurang upaya (OKU) terutama kepada mereka yang mengalami masalah penglihatan.

“Ini secara tidak langsung akan menggalakkan kerjasama semua pihak dalam melakukan penyelidikan dan perkhidmatan berasaskan tanggungjawab sosial masyarakat,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di sini semalam.

MOU itu bertujuan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan perkhidmatan kepada OKU Penglihatan dalam bidang pengajian Islam.

Ia ditandatangani antara USIM, Persatuan Orang-Orang Cacat Islam Malaysia (PERTIS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pada majlis itu juga, USIM menyerahkan naskhah Iqra’ versi braille kepada tiga Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Penglihatan iaitu SKPK Jalan Batu, Kuala Lumpur, SKPK Princess Elizabeth, Johor dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, SKPK Seremban.

Turut hadir, Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan Rozali; Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Profesor Dr. Roslan Abdul Rahman; Yang Dipertua PERTIS, Zakaria Yahya dan Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia, Datuk Zamani Sulaiman yang juga Penasihat PERTIS.

Dr. Muhamad berkata, PERTIS merupakan badan yang bertanggungjawab memperkenalkan penulisan al-Quran braille berkomputer, di samping melatih pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM menyampaikan kandungan pengajaran al-Quran dalam bentuk tulisan braille.

Sementara itu, kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM adalah bertanggungjawab menghasilkan Panel al-Quran Braille Elektronik (eBraille al-Quran) bagi memudahkan pembacaan dan pengajaran kitab suci itu.

Beliau berkata, kebanyakan tenaga pengajar di IQBraille terdiri daripada pensyarah celik penglihatan dan mampu mengajar teknik eBraille al-Quran.

“USIM menawarkan kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian al-Quran dan Sunnah kepada mahasiswa FPQS bermula 2007,” katanya

Sumber: Utusan Malaysia