NILAI, 22 Mac 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meluaskan jaringan strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memfokuskan kepada pemerkasaan program pengajian Islam.

Bertempat di Pusat Islam UMS, USIM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan Pendaftar USIM, Dato’ Mohammad Haizuan Rozali, manakala UMS diwakili Profesor Dato’ Dr Kasim Hj Mansor, Naib Canselor UMS serta Pendaftar UMS, Encik Luqman Ridha Anwar.

 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kerjasama antara USIM-UMS ini bertepatan dibawah payung “USIM Cemerlang, USIM Disayang”. Keterlihatan USIM bukan sahaja menyebarkan ilmu bahkan memberi manfaat kepada masyarakat lebih-lebih lagi menerusi hubungan ‘Friends of Borneo’ yang diterajui oleh Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM.

“Selain memfokuskan kepada pemerkasaan program pengajian Islam serta penyelidikan, kerjasama lain yang akan turut diadakan adalah seperti kerjasama program akademik, penyelidikan bersama, pertukaran bahan penerbitan, maklumat dan penyelidikan, latihan industri pelajar dan pertukaran kakitangan”.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Dato’ Dr Kasim Hj Mansor berkata, UMS mengharapkan agar kerjasama ini terus berkembang dalam pelbagai aspek khususnya bagi program pertukaran pelajar dalam bidang pengajian Islam untuk tempoh selama satu semester. Beliau turut mengalu-alukan kerjasama yang dilihat berimpak dan bermanfaat buat kedua-dua universiti.

Hadir sama ke majlis MoU Pengurusan adalah Profesor Dr Mohd Dahlan Hj A.Malek, Dekan Fakulti Pengajian Islam UMS serta delegasi kerja USIM.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan