NILAI, 6 April 2019- Seminar “Mengubah Air Mata Menjadi Pelangi” dengan hastag #anaksyurgakusahamakhirat telah diadakan pada 6 April di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dengan kehadiran seramai lebih 150 peserta. Program ini merupakan anjuran Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dengan kerjasama Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM dan Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM).

Rata – rata tetamu dan peserta yang hadir adalah dari kalangan ibu bapa, guru pendidikan khas dan pelajar fisioterapi KPJ Healthcare University College. Ia merupakan satu aktiviti yang memberi perkongsian bermanfaat buat masyarakat khususnya ibubapa dan penjaga dalam mengendalikan anak-anak istimewa supaya dapat memperkembangkan potensi diri golongan istimewa ini.

 Antara objektif program ini adalah memberi peluang kepada semua pihak untuk berkolaborasi dan mengambil bahagian dalam pendidikan anak-anak istimewa termasuklah komuniti. Selain itu, menjelaskan bahawa komitmen yang tinggi daripada ibubapa dan keluarga berkaitan penjagaan kanak-kanak istimewa tersebut, pendidikan, sokongan serta penglibatan semua pihak dapat membantu anak-anak istimewa meningkatkan perkembangan serta kemahiran mereka melalui peluang pendidikan yang disediakan.

 Program yang dirasmikan oleh YB. Pn Nicole Tan Lee Koon, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Exco Dan ADUN Kepayang. “Kerajaan akan berusaha mewujudkan polisi khusus untuk golongan kurang upaya dan kerjasama seperti ini harus diteruskan supaya ada kesedaran dalam kalangan rakyat”, ucap beliau.

Tn Hj Norakyairee Mohd Raus selaku Koordinator Unit Penyelidikan Ibnu UMMI Maktum (UMMI) USIM memulakan sesi pertama yang bertajuk “OKU vs OKAY YOU” .Manakala bagi sesi kedua pula bertajuk “Merancang Keperluan Anak Berpendidikan Khas” oleh Prof Madya Dr Hasnah Toran selaku Pengarah, Pusat PERMATA Kurnia, turut disertakan selingan persembahan daripada Persembahan Multimedia dan Nasyid Tanpa Suara oleh SAF al-Isharah USIM.

”Sebagai penganjur, kita mengharapkan program seperti ini boleh memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya ibubapa dan penjaga dalam memberi ruang dan peluang kepada anak istimewa dalam memperkembangkan potensi diri mereka.”

”Diharapkan semoga program yang dijayakan ini dapat memberi pengetahuan kepada ibubapa atau penjaga disamping dapat mengeratkan silaturrahim antara pihak komuniti dengan universiti dan yakin USIM akan menjadi universiti awam utama yang mementingkan pembelajaran kurang upaya,” tambahnya.

Encik Ahmad Sanusi Ab Hamid selaku Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Nilai mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Universiti Sains Islam Malaysia terutamanya Unit Penyelidikan Ibnu UMMI Maktum (UMMI) kerana banyak membantu bagi menjayakan seminar ini dan berharap agar kerjasama ini akan berterusan sehingga dapat menaikkan dan membantu golongan istimewa ini.

Turut serta Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Binti Mokhtar Pengarah oleh Pusat Libatsama Masyarakat Dan Jaringan Industri (PLiMJI, Tn. Mohamad bin Hapil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Negeri Sembilan dan YB. Pn. Nicole Tan Lee Koon Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Exco dan ADUN Kepayang.        

Disediakan oleh:
Mohd Badrul Hisham Zakaria
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032