LOMBOK 25 OKT 2016 – Seramai 14 orang pelajar dan seorang pegawai penyelaras dari Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diketuai oleh Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM telah menjalankan kerjasama strategik antara Fakulti Syariah dan Undang-Undang dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) USIM dengan Universitas Muhammadiyah Mataram (UMM) dan Institut Agama Islam Negeri Mataram (IAIN), Lombok.

Kerjasama berikut antaranya adalah berkenaan peluang melanjutkan pelajaran bagi kakitangan dan pelajar, program pertukaran pelajar, pertukaran idea mengenai hal ehwal akademik dan kokurikulum pelajar, selain menjalankan jalinan kerjasama melalui Letter Of Intent (LOI).

Di UMM jalinan kerjasama tersebut yang ditandatangani oleh Rector Dr. Mustamin H. Idris dan di IAIN ditandatangani oleh wakil Rektor IAIN, Dr. Masnun telah membuka ruang dan peluang baru buat USIM dalam memperluaskan kerjasama akademik untuk menjadikan USIM sebagai salah satu universiti terkemuka di Asia Tenggara khususnya di Malaysia dalam mempelajari ilmu duniawi dan ukhrawi bertepatan dengan slogan USIM, memacu integrasi ilmu naqli dan aqli. Jalinan kerjasama ini juga telah membuka ruangan khusus buat PALAPES USIM dalam menjalankan kegiatan latihan ketenteraan yang pertama di Malaysia bersama MENWA UMM dan IAIN dan sekaligus menjadikan gabungan PALAPES USIM, MENWA UMM dan IAIN  sebagai satu-satunya kegiatan kokurikulum di universiti yang menghubungkan dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.
Jalinan kerjasama ini juga telah menunjukkan bahawa USIM sangat positif dalam memacu perubahan demi meningkatkan tahap keilmuan pelajar selain sangat mengalu-alukan kerjasama dengan universiti serantau dalam pelbagai aspek. USIM juga komited dalam mempertingkatkan kualiti diri pelajar dengan memberikan pendedahan kepada mereka mengenai dunia luar.

Lawatan antarabangsa USIM ini yang membawa tema ‘ Menyelusuri dan Mentadabbur Alam Bumi Lombok’ ini juga telah menyaksikan kejayaan kesemua peserta berjaya menawan puncak Gunung Rinjani, antara puncak tertinggi di Indonesia dengan berketinggian 3726 M. Misi menawan puncak Gunung Rinjani ini telah dijayakankan dengan kerjasama syarikat hiking.my sdn bhd yang beribu pejabat di Bangi.

Antara intipati yang telah diraih oleh pelajar melalui program lawatan antarabangsa ini ialah, pertamanya adalah dapat mempelajari budaya dan adat negara Indonesia yang mana dilihat sangat menghormati tetamu. Pengalaman ini adalah sangat berharga dan bukan hanya dapat disaksikan di kaca televisyen melalui drama atau sinetron Indonesia. Kedua, pelajar dapat melihat sistem pengajian pelajaran institusi-institusi terkemuka di Indonesia selain dapat menambah ilmu pengetahuan. Ketiga, pelajar juga menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT dengan aktiviti pendakian menawan puncak Gunung Rinjani. Terakhirnya, melalui lawatan antarabangsa ini juga dapat mengeratkan hubungan antara pelajar dan pegawai atasan USIM terutamanya dengan Naib Canselor USIM selain dapat membincangkan isu-isu berkaitan pelajaran dan perkara berbangkit.

Disediakan oleh:

Rozaimi Kamaruddin

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204