NILAI, 19 NOV 2016 – Di Majlis Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen kali ke-14, DYMM Tuanku Canselor berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Da’wah dan Pengurusan Islam  kepada YBhg. Dato’ Dr Mohamed Asin bin Dollah, yang merupakan antara barisan Pengurusan Kanan terawal universiti pada awal penubuhan USIM pada tahun 2000. Penerima gelaran Profesor Emerita dianugerahkan kepada Profesor Puan Sri Datuk Dr. Hajah Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim yang merupakan pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dan juga Mantan Pengarah Kolej PERMATA Insan.

Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah dilahirkan di Kerdau, Temerloh, Pahang pada 8 Mei 1952. Pada tahun 1976 beliau telah menerima menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana (M.LITT.) dari Universiti Glasgow pada tahun 1980 dan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Birmingham United Kingdom dalam Bidang Pemikiran Islam dan Pengajian Agama-Agama pada tahun 1989.

Khidmat kepakaran beliau dalam perkembangan pendidikan dan dakwah telah membolehkan beliau dilantik sebagai Pakar Rujuk, Jawatankuasa Kawalan Mutu Buku Teks, Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (1998–1999); Pengerusi Jawatankuasa Kesepakaran Kurikulum Diploma Pengajian Islam, KIPSAS pada 2003; Pengerusi Jawatankuasa Semakan Kurikulum Diploma Pengajian Islam, KIPSAS (2003-2008); Kumpulan Pakar/Penceramah Khas, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia (2000–2001); AJK Penilai, Modul Program Pembangunan Sosial, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2001; dan  Ahli Lembaga Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Baru, Selangor (2004–2007) serta Ahli Panel Penasihat Akademik Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 2004.

Selain itu, beliau turut aktif sebagai penilai luar dan terlibat dalam penerbitan buku, jurnal, kertas seminar, makalah terjemahan, suntingan dan penulisan dalam media massa. Sumbangan idea, tenaga dan pengalaman luas Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah telah membuka peluang kepada anak-anak bangsa sekarang terutamanya para pelajar aliran agama untuk maju ke hadapan sebagai pendakwah yang bercirikan pemimpin dan pengurus yang cekap untuk  membangunkan agama dan negara.

Y. Bhg. Profesor Puan Sri Datuk Dr. Hajah Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim dilahirkan pada 25 Februari 1949 dan memulakan pendidikan di Sekolah Rendah Kuala Pari, Ipoh, Perak Darul Redzuan. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menegah Anderson dan Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman (STAR) Ipoh.

Sepanjang perkhidmatan beliau di USIM, sumbangan beliau dalam bidang pendidikan am dan kaunseling sangat meluas. Bidang kaunseling dan psikologi diintegrasikan dengan ilmu naqli an aqli. Hasilnya terbentuk dalam pelbagai bidang akademik seperti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, penerbitan dan penglibatan komuniti.Beliau sangat menekankan aspek ilmu pskilogi dan Islam.

Upaya dan ketrampilan beliau juga terserlah apabila beliau diberikan amanah untuk menjawat portfolio pentadbiran sebagai Dekan FKP dari tahun 2004 sehingga 2010.Beliau turut diberikan kepercayaan sebagai Pengarah Program Permata Insan dari tahun 2010 hingga 2015. Hasilnya, USIM telah menerima peruntukan untuk membangunkan Kolej Permata Insan yang menjadi satu mercu tada di kampus ini.

Bukan sahaja aktif di peringkat Universiti, Prof. Puan Sri Datuk Dr. Hajah Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim juga turut aktif dalam penglibatan bersama dengan komuniti dan masyarakat. Beliau pernah menggalas jawatan sebagai Setiausaha Program Semai BAKTI di Bawah Badan Amal dan Kebajikan Isteri Menteri (BAKTI), Ahli Penasihat Lembaga Kaunselor Malaysia, Pengerusi Rumah Kanak-Kanak Istimewa Kuala Langat, Pengerusi Koperasi Wanita Jaya Kuala Langat, Pengerusi Yayasan Bestari Kuala Langat dan Ahli Lembaga Pelawat Kompleks Penyayang Sungai Buloh.

Sementera itu, YAM Tengku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM turut berkenan memberi penganugerahan pada sidang 5 kepada seorang penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syariah dan Undang-undang iaitu kepada YBhg. Dato’ Faiza bin Tamby Chik yang pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan Felo Utama di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM (2006-2014).

YBhg. Dato’ Faiza bin Haji Tamby Chik dilahirkan pada 6 Oktober 1939 di Rembau, Negeri Sembilan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Port Dickson dan kemudiannya di peringkat menengah di Sekolah Menengah Port Dickson. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang di Lincolns’s Inn London sehingga memperolehi Barrister-at-Law pada tahun 1972.  Beliau mula berkhidmat sebagai Peguambela dan Peguamcara Malaya Mahkamah Tinggi Malaya (1973-1988).  Beliau kemudian dilantik sebagai peguam ke perkhidmatan kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Kuala Lumpur (1990) dan dinaikkan jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Seremban (1991-1993) Mahkamah Tinggi Shah Alam (1994-1999) dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (1999-2005). Selain daripada bidang perundangan dan kehakiman sivil, beliau turut dilantik sebagai Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor (1996-1999).

Antara anugerah dan pengiktirafan yang pernah diterima oleh beliau hasil daripada Khidmat bakti beliau dalam pelbagai dimensi keilmuan ialah Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (P.J.N) yang membawa gelaran Datuk oleh kerajaan Malaysia bersandarkan pelbagai usaha dan jasa bakti beliau dalam membangunkan masyarakat dan negara, profesion kaunseling dan pendidikan pada tahun 2011 dan Anugerah fellowship PERKAMA oleh Persatuan Kaunselor Malaysia (PERKAMA International) di atas jasa dan bakti beliau yang tidak ternilai dalam pembangunan dan perkembangan bidang kaunseling di Malaysia pada tahun 2012.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204