KAJANG, 28 Februari 2018 – Berlatarkan alam semulajadi menjadi lokasi pilihan karyawan dan budayawan tanah air bertemu mata. Laman kediaman Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh, Sasterwan Negara ke-6 menjadi lokasi program Sembang Pohon Keranji (SPK) 2.0 anjuran Pusat Kebudayaan USIM. SPK pada kali ini menampilkan keunikan dengan menjemput beberapa nama besar dunia sastera negara dan aktivis seni untuk berkongsi tentang peribahasa Melayu yang sememangnya menjadi tunjang dan adat kehidupan bangsa kita.

“Sembang Pohon Keranji diambil sempena salah sebuah pokok yang ada disekitar kediaman beliau dan melalui ini kita dapat mengukuhkan hubungan budaya dan kepakaran serta peluang yang ada digunakan sebagai perkongsian seni secara santai bersama budayawan, karyawan dan aktivis tanah air”. Ujar Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM.

Sementara itu Prof. Emeritus Muhammad Hj Salleh, 76, dalam ucapannya berkata, “Anak-anak muda zaman kini harus meningkatkan rasa cinta serta memupuk kasih sayang dalam menyemarakkan budaya, bahasa dan bangsa Melayu. Hilangnya nilai sesuatu bangsa yang serius dalam mempertahankan budaya dan bangsa yang mempunyai harga diri adalah kerana tidak diajar atau diterapkan nilai-nilai tersebut dalam diri dengan lebih mendalam”.

Penyanyi lagu rakyat Roslan Madun hadir menyampaikan lagu Sembang Pohon Keranji yang dicipta sempena pertemuan beliau dan rakan-rakan di program tersebut. Budayawan Dato’ Dr Ibrahim Ghafar turut berkongsi tentang maksud tersirat peribahasa Melayu “sorok papan tarik papan buah keranji dalam perahu, suruh makan dia makan suruh mengaji dia tak tahu”.  Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Khair Ngadiron hadir menyampaikan sebuah puisi karya Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh.

Program turut mempersembahkan medley lagu puisi penyanyi tanah air Allahyarham Zubir Ali didendangkan oleh Adiwangsa Sukma bersama Urus Setia Kesenian Pelajar dan alumni USIM sebagai mengingati sentuhan puitis penyanyi lagu puisi tersebut.

Seramai lebih 50 tetamu yang hadir antaranya karyawan dan penyair Dr. Siti Zainon Ismail, Datuk Paduka Dr. Rosli Saludin, Syed Indera Syed Omar, Silahudin Ahmad, Mamu Mk Hasny dan Along Mazlan serta aktivitis dan pelakon teater Roslee Mansor, Shaharudin Thamby dan Razali Hussain. Turut memeriahkan acara tersebut Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) dari Pusat Kebudayaan USIM.

 

Disediakan oleh:
EB Maryam, EB Atifah, Rozihani Mohamad
Pusat Kebudayaan USIM
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204