NILAI, 21 OGOS 2015 – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2015 yang bertemakan Sehati Sejiwa kali ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengatur sebanyak 13 pengisian utama yang menarik untuk warga kampusnya.

Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Universiti diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan penglibatan pelbagai Jabatan lain di USIM seperti Pusat Komunikasi Strategik, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Jabatan Keselematan, Pusat Islam dan lain-lain lagi untuk menggerakan acara-acara yang diatur.

Membuka tirai secara rasmi sambutan adalah Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2015 Peringkat Universiti yang diadakan pada semalam (Khamis, 20 Ogos). Seramai 600 tetamu terdiri kalangan staf dan pelajar membanjiri Dewan Kuliah Pusat 3 USIM.

Disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, tetamu turut mendengar perkongsian pengalaman menarik bersama Ketua Pendaki Everest-FELDA 2013, Puan Siti Hanisah Sharuddin dengan personaliti Ahmad Fedtri Yahya sebagai moderator.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu tunjukkan rasa cinta kepada negara  dan benar-benar faham akan erti kemerdekaan yang dikecapi. Kemerdekaan tidak mungkin dapat dikekalkan tanpa perpaduan dan perpaduan pula tidak mungkin wujud tanpa toleransi di antara kaum dan sesama kaum,” ucap Naib Canselor USIM.

Acara lain yang diatur bagi menyemarakkan semangat patriotik dan memeriahkan Bulan Kebangsaan adalah Bicara Bulan Kebangsaan; Bengkel Penulisan Lirik Patriotik ’Saya Anak Malaysia’; Luahan Anak Merdeka; Khutbah Jumaat Khas Bulan Kebangsaan; Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat Sempena Bulan Kebangsaan serta Perarakan Hari Kebangsaan.

Kelainan acara baharu yang ditonjolkan USIM kali ini adalah Pameran Kemerdekaan dan Wayang Pacak; Pertandingan Kibaran Jalur Gemilang Kreatif; Wefie Bulan Kebangsaan, Mereka Cipta Sepanduk Bulan Kebangsaan; Ekspedisi Kayuhan Bulan Kebangsaan dan kemuncaknya adalah Perhimpunan Khas Bulan Kebangsaan dan Perasmian Penutup Sambutan Bulan Kebangsaan pada 17 September nanti bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Kesemua acara yang diadakan sepanjang bulan Ogos sehingga September oleh USIM secara tidak langsung memberi peluang kepada warga kampus untuk bersama seluruh rakyat Malaysia yang lain sehati dan sejiwa menonjolkan rasa terima kasih dan kesyukuran atas kemakmuran negara yang dikecapi selama ini.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204