NILAI – Seramai 146 Pegawai Kadet PALAPES USIM telah berjaya menjalani Perbarisan Ulung Komandan PALAPES USIM yang berlangsung di Markas PALAPES Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah pada 22 Jun 2024 baru-baru ini. Sebelum itu, pegawai kadey ini telah menyempurnakan Latihan Kem Tahunan bersama PALAPES Universiti Putra Malaysia (UPM) di sekitar Raub, Pahang dan Kem 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kuala Lipis, Pahang pada bulan februari yang lalu.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Mejar Rozaimi Kamarudin Timbalan Komandan dan juga Mejar Mohammad Norfadzlin Kamarudin Ketua Jurulatih

Naib Canselor Prof Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani merangkap Komandan berucap, “Saya berpendapat bahawa program ini amat baik bagi membina sahsiah diri setiap pelajar yang menyertainya dan sedaya upaya melatih semua Pegawai Kadet ini sebaik yang  mungkin  dengan  bantuan  dari  barisan jurulatih PALAPES USIM sendiri. Kamu semua bertuah dan seharusnya berbangga kerana dapat  menjalani  latihan  yang  memerlukan pengorbanan  dari  segi  masa,  tenaga  dan komitmen”.

Ujarnya lagi, perancangan pembangunan dan peningkatan bagi PALAPES USIM haruslah diteruskan dan dipertingkatkan dalam usaha memberi peluang kepada anak watan USIM ini untuk terus menabur bakti demi maruah negara dengan menyertai pasukan askar wataniah setelah tamat pengajian di universiti ini.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada PALAPES Canselori yang diterajui oleh Sarjan Md Khairul Daud dan beberapa anggota staf PALAPES lain dengan kerjasama PPKI telah melaksanakan modul pertama berbentuk survival iaitu modul meredah hutan dan ikhtiar hidup kepada 60 orang pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) bersempena program motivasi dan peningkatan PNGK pada awal bulan jun yang lepas”, beliau berkata lagi.