NILAI, 8 Oktober 2021 – Sebagai Penghargaan kepada staf yang menunjukkan prestasi cemerlang, pencapaian dan komitmen yang tinggi dalam kerjaya sepanjang tahun 2020, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi (AKI) 2020 yang telah diadakan pada 8 Oktober 2021 bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Seramai 159 orang warga USIM menerima anugerah pada majlis tersebut. Daripada jumlah itu, seramai tiga (3) orang menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang yang dianugerahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), 136 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 23 staf menerima Anugerah Khas.

Majlis yang dijalankan dalam suasana sederhana tetapi bermakna mengikut prosedur operasi yang telah ditetapkan ini telah dirasmikan oleh Encik Mansor bin Ibrahim @ Abd. Hamid, yang menjalankan fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan turut dihadiri oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim dan Pendaftar Dato’ Muhammad Haizuan Rozali.

Bermula pada tahun 2021 juga, Anugerah Perkhidmatan Setia yang sebelum ini dianugerahkan di Majlis AKI akan dianugerahkan di Majlis Sanjungan Budi yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Dato’ Ridza dalam ucapan aluannya berkata, untuk menjadikan pekerjaan bernilai ibadah di sisi Allah maka seorang muslim harus menjunjung tinggi adab dan etika. Di antara adabnya adalah berkerja dengan ikhlas semata-mata untuk mencari redha Allah Ta’ala, bukan kerana kepentingan dunia.

“Sebagai warga USIM yang bertanggungjawab dalam mengerakkan kecemerlangan Universiti, sifat bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa mengira kewilayahan masing – masing adalah sangat penting dalam memastikan matlamat Universiti dapat dicapai. Seperti kata pepatah ‘bagaikan aur dengan tebing’, ‘ bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’, katanya lagi.

Sebanyak 26 anugerah diberikan pada majlis AKI yang diterajui sepenuhnya di bawah Jabatan Pendaftar dengan kerjasama pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) di USIM.

Bagi penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang  telah dianugerahkan kepada Puan Siti Nurbaya Ismail (Jabatan Bendahari), Encik Ismail Ahmed (Pusat Kebudayaan) dan Encik Yusri Shamsudin (Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti).  Anugerah ini merupakan pingat yang dianugerahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi pegawai perkhidmatan awam yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam tugas yang diamanahkan serta aktif dalam penglibatan dan sumbangan luar tugas rasmi termasuk aktiviti kesukarelawan, kemasyarakatan, sukan, kebudayaan dan sebagainya yang boleh mengharumkan nama organisasi dan negara. Penerima membawa pulang Sijil Simpanan Premium berjumlah RM1,000 dan sijil penghargaan.

Manakala, Anugerah Khas yang terulung pada majlis ini iaitu Tokoh Akademik (Hasanul Mudir) pada majlis ini diberikan kepada Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad sebagai satu penghormatan atas segala jasa dan sumbangan serta ketokohan beliau dalam bidang akademik di dalam dan di luar USIM. Beliau menerima wang tunai berjumlah RM5,000, baucar buku bernilai RM300 dan sijil penghargaan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan langsung daripada Pusat Kebudayaan dan diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata kepada Pengerusi LPU.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik
Universiti Sains Islam Malaysia