Seramai 1,689 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah masing-masing sempena Majlis Konvokesyen USIM kali ke-12 yang berlangsung pada 15 November hingga 16 November bertempat di Dewan Besar USIM.
Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-12 disempurnakan oleh DYMM Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. YAM Tengku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM akan turut bersama berangkat ke majlis ini.
Sebanyak 4 sidang yang akan diadakan untuk menganugerahkan Ijazah kepada semua graduan berbanding hanya 3 sidang pada tahun lalu. Sidang 1 disempurnakan oleh DYMM Tuanku Canselor, Sidang 2 disempurnakan oleh YAM Tunku Pro-Canselor manakala Sidang 3 dan 4 akan disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, YBhg. Prof Dato Dr Musa Ahmad.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, pecahan penerima Doktor Falsafah adalah seramai 23 orang, penerima Sarjana seramai 88 orang, penerima Diploma seramai 29 orang manakala penerima Sarjana Muda seramai 1,549 orang.
Bakal diberi penghargaan adalah 2 graduan yang menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), 2 graduan penerima Anugerah Canselor, 1 graduan penerima Pingat Emas Naib Canselor, 1 graduan penerima Augerah Khas Yayasan Tun Azmi, 1 graduan penerima Anugerah Khas Malaysian Press Institute diikuti sebanyak 5 graduan penerima Anugerah Buku Universiti, 8 graduan penerima Anugerah Buku Fakulti dan 8 orang penerima Anugerah Buku Ko-Kurikulum.
Majlis Konvokesyen kali ini turut menyaksikan dua tokoh menerima Ijazah Kehormat iaitu Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Bin Che Othman yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat. Turut menerima adalah Penasihat Agama kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga merupakan Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia, YBhg. Tan Sri Dr. Abdullah Bin Md. Zin yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Dakwah dan Pengurusan Islam.
Majlis Konvokesyen turut dimeriahkan dengan penganjuran Pesta Konvo di Tapak Pavilion bersebelahan dengan Dewan Besar USIM yang telah bermula pada 13 November yang telah dihadiri oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM pada Majlis Pelancaran Pesta Konvo.
Disediakan oleh :
Syazlyna Jamil
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204