Nilai, 14 Okt – Seramai 225 peserta dari 22 Institut Pengajian Tinggi  (IPT) ASEAN berkampung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selama lima hari bersempena dengan Program Ihtifal Institut Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2011.

Program dengan kerjasama Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini adalah julung-julung kalinya diadakan dengan menghimpunkan empat acara utama iaitu Pertandingan Debat Bahasa Arab IPT ASEAN, Pertandingan Tilawah al-Quran IPT ASEAN, Pertandingan Nasyid IPT ASEAN dan Persidangan Belia Islam Sedunia.

Semenjak tahun 2007, USIM telah menganjurkan sebanyak empat kali pertandingan Debat Bahasa Arab diperingkat IPT ASEAN. Untuk memperluaskan kemeriahan dan impak pertandingan tersebut, USIM mengambil inisiatif untuk menganjurkan tiga lagi acara yang saling lengkap-melengkapi iaitu Tilawah al-Quran, Nasyid dan Persidangan Belia Islam Sedunia dengan menghimpunkan peserta-peserta daripada IPT ASEAN.

Dengan bertemakan Belia Islam Pemangkin Transformasi Ummah, antara signifikan bagi setiap acara yang dianjurkan ini adalah untuk menonjolkan model kesenian islam disamping menajamkan bakat para belia serta melahirkan generasi belia Islam yang memiliki elemen-elemen penting seperti kekuatan semangat dan daya juang yang tinggi, luas penguasaan ilmu serta berkeupayaan untuk memimpin anggota masyarakat dan seterusnya berperanan sebagai pemangkin kepada agenda transformasi negara dan ummah.

Saudara Ahmad Naeim Bin Mohd @ Mat Isa dari USIM telah ditabalkan sebagai Johan bagi pertandingan Tilawah al-Quran manakala saudara Muhd Amirul Aiman Bin Haji Marzuki dari Kolej Universiti Pengurusan Ugama Seri Begawan, Brunei dan Zulfikar Kaslam dari Universitas Muhammadiyyah Jakarta, Indonesia masing-masing mendapat Naib Johan dan tempat ketiga.

Bagi kategori perempuan pula, Saudari Nor Hidayah Abd Rahman dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) berjaya meraih Johan dengan pungutan markah sebanyak 90 markah. Naib johan disandang oleh saudari Mastia Lestaluhu dari Universitas Muhammadiyyah Jakarta, Indonesia dan saudari Sofizah Hj Mousin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) tempat ketiga.

Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan lagu mereka Anugerah telah ditabalkan sebagai Johan bagi pertandingan Nasyid IPT ASEAN dan pemenang Lirik Terbaik manakala USIM yang diwakili kumpulan Intracksee berjaya meraih Naib Johan dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tempat ketiga.

Pertandingan Debat Bahasa Arab IPT ASEAN 2011 pada kali ini menyaksikan Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UINSH), Indonesia berjaya merangkul gelaran juara apabila berjaya menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kejayaan yang dirasai bertambah manis lagi apabila pendebat UINSH, saudara Ayatullah Khusaini diumumkan sebagai pendebat terbaik bagi kejohanan tersebut.

Majlis Perasmian Penutupan Ihtifal IPT Asean 2011 ini disempurnakan oleh Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir B. Hj. Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut beliau, pendedahan kepada para pelajar dalam program-program yang memerlukan interaksi dengan masyarakat penting kerana selain menimba ilmu akademik di kampus, ia juga membolehkan mahasiswa membina hubungan baik dengan masyarakat sebaik sahaja menamatkan pengajian.

“Kehidupan mahasiswa tidak cukup hanya dengan ilmu akademik semata-mata, mereka perlu juga diberi pendedahan kehidupan sebenar di luar kampus.

“Semakin banyak pengalaman yang diperoleh, semakin tinggi nilai diri dan pasaran kerja yang bakal menanti mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menutup Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2011 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Y.Bhg. Datuk Haji Othman Bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg. Profesor Dr. Musa Ahmad (Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa) dan Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni).

Oleh:
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia
Tel: 06-798 8027/ 8028