27 MPP USIM sesi 2021/2022 terima watikah pelantikan

By |2022-01-11T05:09:23+08:00January 3rd, 2022|Campus News, Featured Campus News, Highlights News, News|

NILAI, 3 Januari 2022 – Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sesi 2021/2022 kepada 27 barisan Ahli Majlis Tertinggi dan Exco telah berlangsung di Dewan Tuanku Canselor baru-baru ini. Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM.

Barisan MPP diterajui oleh Muhammad Zaid Abdul Karim, 21, penuntut tahun 3 Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah telah dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua MPP bagi sesi 2021/2022 bersama ahli-ahlinya yang dipilih melalui Pemilihan MPP yang diadakan pada 9 Disember yang lalu.

Muhammad Zaid merupakan mantan Pengerusi Urusetia Latihan Pembangunan Mahasiswa sesi 2020/2021 membawa motto “Bersama Menginovasi Aspirasi” sebagai satu bentuk kesinambungan kepada dasar dan perancangan strategik MPP terdahulu.

Jelas beliau, matlamat utama MPP kali ini adalah untuk membangunkan mahasiswa dengan memperkasakan budaya intelektual dan kemahiran tadbir urus yang efektif dan inovatif. Kepimpinan kali ini akan berganding bahu bersama pengurusan universiti dalam usaha melahirkan pelajar USIM yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan mampu memberi manfaat sehingga membawa arus perubahan dalam masyarakat dan orang di sekeliling.

“Empat objektif utama kepimpinan MPP kali ini adalah untuk memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara dalam setiap aspek melalui kerjasama pusat tanggungjawab dan badan pelajar berkaitan, memperkasa nilai prosumerisme dalam kalangan mahasiswa, mengintegrasikan budaya intelektualisme bersama dasar kerohanian melalui diskusi dan wacana ilmiah berimpak tinggi dan membudayakan nilai profesionalisme sebagai tunjang pengurusan organisasi”, ujar Muhammad Zaid dalam ucapan dasarnya sebagai Yang Dipertua MPP yang baharu.

Dalam ucapan Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin pada majlis penyampaian watikah tersebut, beliau mengingatkan bahawa dilantik untuk menjadi seorang pemimpin bukanlah satu keistimewaan untuk dimegahkan tapi ianya penuh dengan cabaran dan pengorbanan. Ia juga bukanlah satu kemewahan dan kesenangan bagi mencapai kepuasan diri sendiri tapi ianya perlu kepada strategi dan perancangan yang mantap dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Kepimpinan adalah wadah kepada kesejahteraan, pembangunan dan keharmonian di dunia dan di akhirat.

“selain itu, melalui Pelan Tindakan Pembangunan Pelajar Bersepadu atau Integrated Student Development Action  yang dibangunkan pada tahun 2021 dan diterajui oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)diharap dapat memperkasakan dan memberikan halatuju baharu dalam aspek pembangunan pelajar,

Ini kerana pelan ini dilihat sebagai kerangka komprehensif yang mana Modul GIINA yang sedia ada adalah salah satu dasarnya. Kerangka ini telah mensinergikan pendekatan yang diambil dalam aspek pembangunan pelajar dari akar umbi dan memfokuskan kepada aspect by design yang lebih menyeluruh dan berhalatuju serta lebih berobjektif.

Dalam pemilihan MPP USIM yang dijalankan secara sepenuhnya secara dalam talian (online) bermula dari proses penamaan calon, kempen sehingga ke proses pengundian, USIM telah berjaya mencatat jumlah undi sebanyak 89.54%. Peratusan ini mewakili 10,065 orang pelajar daripada 11,240 orang pelajar yang layak mengundi bagi memilih sembilan orang wakil pelajar di Kerusi Umum dan 18 wakil pelajar untuk mengisi Kerusi Fakulti.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

Go to Top