NILAI, 24 Ogos – Kor Sukarelawan Polis Siwa Siswi (Suksis) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menunjukkan kecemerlangan apabila seramai 43 orang pelatih Berjaya ditauliahkan sebagai Inspektor Kehormat Suksis (KS) dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis Kali Ke-10 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Majlis tamat tauliah ini telah disempurnakan oleh Senior DCP Datuk Abdul Samah Mat, Ketua Polis Selangor mewakili Ketua Polis Negara.Pada majlis tauliah yang disertai seramai 1,026 mahasiswa dari 20 buah IPTA seluruh Negara turut menyaksikan tiga (3) orang pelajar USIM turut menerima penghargaan.

Mereka adalah Nurul Syazana Mohd Nor (KS 46222), pelajar Tahun Tiga jurusan Pentadbiran Muamalat, Fakulti Ekonomi dan Mualamat (FEM) dipilih sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan; Ahmad Deedat Abdullah Habib (KS 46209), pelajar Tahun Tiga jurusan Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kempimpinan dan Pengurusan (FKP) sebagai Pegawai Terbaik Latihan Luar; dan Nur Faizah Abdul Rahman (KS 46234), pelajar Tahun Tiga jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dipilih penerima Pelatih Terbaik Latihan Akademik.

Prof.Dato’ Dr. Mohamed AsinDollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM merangkap Komanda Kor Suksis USIM yang turut hadir di majlis pentauliahan ini melahirkan rasa bangga dan pujian kepada pelajar atas komitmen dan disiplin yang tinggi ditunjukkan semasa menjadi pelatih.

“Para pelajar ini telah mengikuti latihan selama enam (6) semester pengajian di dan merupakan kumpulan keenam Suksis USIM yang telah dilahirkan sejak Kor Suksis USIM mula ditubuhkan pada 2006.”

“Alhamdulillah, ketahanan fizikal dan mental pelajar kita kuat khususnya semasa kawad tamat latihan kerana tiada yang rebah sepanjang majlis tersebut berlangsung. Segala tips dan nasihat dari jurulatih diambil perhatian dengan sebaiknya oleh mereka.” Kata beliau.

USIM menjadi IPTA pertama di Negeri Sembilan yang menubuhkan Kor Suksis ini yang memperlihatkan penerapan nilai kepolisan di kalangan peserta terpilih telah diberikan keutamaan supaya setiap peserta dapat memberikan keterampilan dan ketahanan mental serta displin yang tinggi.

Disediakan oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204