TERENGGANU, 17 November 2019- Seramai 55 sularelawan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sanggup masuk kampung untuk menjalankan program kemasyarakatan bersama warga penduduk di Kg Rhu Rendang, Marang, Terengganu.

Pengarah Pusat Perumahan Pelajar (PPP) USIM, En Ahmad Kamal Mustafa berkata, amalan menjalankan program sebegini sudah menjadi rutin dalam kalangan staf PPP dan menjadi signature kepada PPP untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat dan warga universiti.

“Kali ini kita libatkan lebih ramai Jawatankuasa Siswa/I (JAKSA) dan pelajar dari pelbagai Kolej Kediaman untuk bersama-sama turun padang dengan harapan mereka boleh meneruskan sikap untuk berbakti kepada sesiapa sahaja pada masa akan datang. Sikap saling tolong menolong dan menerapkan nilai ihsan perlu diterapkan kepada pelajar Universiti sebagai usaha untuk membina akhlak terpuji,” katanya.

Menerusi program ini, kesemua sukarelawan telah mengadakan pelbagai aktiviti antaranya membersihkan kawasan perkuburan dan kampung di Kg Batangan yang hampir berusia 60 tahun. Selain itu, sukarelawan USIM juga turut membersihkan sekitar pantai di Pulau Kekabu Marang dan berjaya mengutip 20 bungkus plastik sampah dan membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk kampung.

Apa yang menarik kali ini, ialah Syarikat Al-Ikhsan juga telah menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada 10 keluarga yang terpilih di sana.

Dalam masa yang sama, Naib Canselor USIM, Prof. Dr Mohamed Ridza Wahiddin turut memuji program kemasyarakatan ini dan mengharapkan warga USIM akan terus bertebaran membantu masyarakat di luar sana dengan menyumbangkan kepakaran, bantuan, khidmat nasihat dan cakna dengan keperluan masyarakat.

“Dengan menjalankan program sebegini, ianya secara tidak langsung memberi publisiti percuma kepada USIM untuk lebih dikenali dan sekaligus menarik minat kepada bakal pelajar untuk menyambung pengajian di USIM,” katanya lagi.

Selain PPP, program yang dijalankan pada 14 hingga 17 November 2019 ini telah mendapat kerjasama dari MPKK Rhu Rendang, i-Mits, Pusat Kesihatan USIM dan Jawatankuasa Siswa/I Kolej Kediaman USIM.  Antara aktiviti lain yang diadakan ialah sukaneka, kenduri bersama penduduk kampung dan program kerohanian.

 

Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hassan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan