NILAI, 17 OGOS 2015 – Hari cemerlang buat Kor Sukarelawan Polis Siwa Siswi (Suksis) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila seramai 56 orang pelatih berjaya ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis pada tahun ini.

Terdiri daripada 26 lelaki dan 30 perempuan, mereka yang sedang menuntut di peringkat Sarjana Muda menerima watikah masing-masing sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis Kali Ke-11 di Universiti Tun Hussein On, Batu Pahat pada semalam.

Majlis yang dirasmikan oleh oleh Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara ini menyaksikan seramai 1026 pelatih Kor Suksis Universiti Awam seluruh negara diraikan penuh gemilang. Turut hadir meraikan adalah Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani bersama Komandan-Komandan Kor Suksis dan Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia.

Sempena majlis ini, ia juga menjadi hari yang bersejarah dan manis kepada Muhammad Hafiz Amir, 22; Abdul Rahman Razali, 22; dan Shafatin Mohd Zahar,22 apabila masing-masing menerima penghargaan daripada Ketua Polis Negara sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan, Pelatih Terbaik Latihan Luar dan Pelatih Terbaik Latihan Akademik.

Bagi Hafiz yang merupakan pelajar Tahun Tiga Sarjana Muda Sains Komputer Jaminan dan Keselamatan Maklumat, Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, dipilih sebagai penerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan merupakan pencapaian yang tidak disangka beliau apabila menyertai Kor Suksis USIM.

“Perasaan pastinya sangat gembira dan terkejut. Saya menyertai kadet polis semasa di sekolah dahulu dan memilih Kor Suksis sebagai badan kokurikulum unit berunifom apabila memasuki Universiti kerana ingin meneruskan minat mendalam dalam bidang kepolisan. Kursus dan aktiviti yang dikongsikan oleh para pelatih senior menambah lagi minat dan kesungguhan saya untuk menyertainya”

“Perubahan positif pada diri apabila saya menyertai Kor Suksis ini antaranya saya lebih berkeyakinan apabila bercakap di khalayak, penampilan lebih kemas dan berani mengambil tanggungjawab untuk kehadapan untuk dilantik sebagai ketua.”

“Alhamdulillah, sentiasa mendengar arahan jurulatih dan buat yang terbaik dalam tugasan diberi memberi rezeki kepada saya untuk menerima anugerah ini. InsyaAllah akan memilih kerjaya bersama Polis Diraja Malaysia apabila tamat pengajian nanti” ujar beliau.

Menurut Timbalan Komandan Kor Suksis USIM, Supt/KS Hisham Sabri, beliau mewakili Pengurusan Suksis USIM melahirkan rasa bangga dan pujian kepada pelajar atas komitmen dan disiplin yang tinggi ditunjukkan semasa menjadi pelatih.

“Para pelajar ini telah mengikuti latihan selama enam (6) semester pengajian dan ini merupakan kumpulan ketujuh Inspektor Sukarelawan Polis yang telah dilahirkan sejak Kor Suksis USIM mula ditubuhkan pada 2006.”

USIM menjadi IPTA pertama di Negeri Sembilan yang menubuhkan Kor Suksis ini yang memperlihatkan penerapan nilai kepolisan agar mereka memiliki pengetahuan undang-undang, kemahiran, berdaya saing, berdisplin, berketrampilan dan dilengkapi dengan nilai-nilai murni serta harga diri yang tinggi mengikut acuan Polis Diraja Malaysia.

Penubuhan Kor Suksis di Institusi Pengajian Tinggi adalah hasil cetusan idea Mantan Perdana Menteri  YAB Dato’ Seri Abdullah bin Ahmad Badawi  ketika itu menjawat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri  Dalam Negeri semasa lawatan beliau di Univerisiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah pada 4 hb. Febuari 1999.

Lawatannya di UUM Sintok pada 4 Febuari 1999 beliau telah menyarankan supaya diujudkan satu lagi pasukan beruniform ‘ala polis’ sebagai pemangkin kepada membentuk  pembangunan  sahsiah pelajar yang bakal menjadi pemimpin masa akan datang yang berpengetahuan dalam bidang kepolisan dan penguatkuasaan undang-undang serta menjaga keselamatan negara.

Pada 24 Jun 2006, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar telah merasmikan secara serentak Penubuhan Badan Beruniform Kor Suksis Institusi Pengajian Tinggi Awam seluruh Malaysia di Universiti Teknologi Mara ( UiTM ) Shah Alam.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204