NILAI – Seramai 685 peserta berpeluang menimba pengalaman dan perspektif kepimpinan serta keadilan daripada mantan Ketua Hakim Negara, Tun (Dr.) Tengku Maimun Tuan Mat, menerusi Forum Woman, Justice & Leadership: Suara Wanita Pertama Ketua Hakim Negara yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pada 12 Oktober 2026 baru-baru ini.
Forum anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Law Students’ Society Club (LAWSOC) dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang (PMFSU) itu memberi ruang kepada mahasiswa mendalami pengalaman kepimpinan pada peringkat tertinggi institusi kehakiman serta memahami nilai integriti dan prinsip keadilan dalam profesion perundangan.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh selaku moderator, serta Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Prof. Madya Dr. Abdul Manan Ismail.
Pengalaman Tun (Dr.) Tengku Maimun sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara menjadi antara tarikan utama forum, khususnya dalam memberikan gambaran mengenai cabaran, tanggungjawab dan prinsip yang diperlukan dalam menerajui institusi kehakiman negara.
Antara mesej yang diketengahkan beliau ialah kepentingan memperjuangkan kebenaran dengan penuh keikhlasan, selaras dengan pesanan, “Argue not for the sake of victory, but for the pursuit of truth and sincerity.”
Pesanan tersebut menekankan bahawa perjuangan dalam bidang perundangan bukan semata-mata untuk mencapai kemenangan, sebaliknya perlu berlandaskan pencarian kebenaran dan keikhlasan dalam menegakkan keadilan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa berkata, profesion perundangan bukan sekadar laluan kerjaya, sebaliknya satu amanah yang menuntut pegangan teguh terhadap etika dan prinsip keadilan.
“Sebagai mahasiswa, khususnya mahasiswa dalam bidang Undang-Undang, saudara dan saudari perlu memahami bahawa profesion perundangan bukan sekadar kerjaya, tetapi satu amanah yang menuntut kejujuran, keberanian serta komitmen yang tinggi terhadap prinsip keadilan. Nilai-nilai inilah yang perlu dipupuk sejak di bangku universiti agar dapat diterjemahkan dalam kerjaya dan kehidupan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Muhammad Azim Farhan Zakaria pelajar Tahun Empat Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah berkata, pemilihan tokoh yang pernah menerajui institusi kehakiman negara bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan realiti kepimpinan dan dunia perundangan.
Menurut beliau, forum tersebut turut memberi peluang kepada mahasiswa mendapatkan inspirasi secara langsung daripada pengalaman seorang tokoh kehakiman negara, berbanding pendekatan perkongsian ilmu yang hanya berasaskan pembelajaran konvensional.
Penganjuran forum ini menjadi ruang pembelajaran di luar bilik kuliah dalam memperkayakan pemahaman mahasiswa mengenai kepimpinan, integriti dan keadilan, di samping menyemai nilai profesionalisme dalam kalangan bakal pengamal undang-undang.
Oleh: Ihsan Hakim Zefendy