NILAI,  16 November 2021 – Seramai 69 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menamatkan latihan sekaligus ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis dalam Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis USIM Tahun 2021 pada hari ini mengikut Standard Operasi Prosedur Fasa Pelan Pemulihan Negara.

Pelatih yang terdiri daripada 35 lelaki dan 34 perempuan yang sedang menuntut di peringkat Sarjana Muda menerima watikah masing-masing yang disampaikan oleh Deputi Komisioner Polis (DCP) Dato’ Dr Mustafa Khan Abduk Samat, Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JPJKK Bukit Aman.

Majlis yang diadakan ini merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia kepada pelatih-pelatih Kor Suksis yang telah berjaya menamatkan latihan selama 672 jam dalam tempoh tiga (3) tahun pengajian iaitu selama 6 semester sepanjang pengajian di universiti, dengan modul-modul yang disediakan antaranya Latihan kawad, Latihan Senjata, Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Khidmat Masyarakat.

DCP Dato’ Dr Mustafa Khan Abduk Samat dalam ucapannya meletakkan harapan pegawai pegawai Kor Suksis ini mampu menjadi seorang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi serta mampu memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat.

“Dengan semangat juang tinggi mereka telah berjaya mengharungi penat Lelah, perit maung dalam menjalani latihan yang telah ditetapkan, Syabas dan tahniah diucapkan”, ujarnya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin turut berharap dengan pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka di USIM, pegawai- pegawai Kor Suksis USIM ini dapat lebih terkehadapan dan menjadi contoh kepada pelajar-pelajar yang lain.

“Sentiasa menjaga nama baik USIM dan berbanggalah menjadi graduan USIM. Manfaatkan ilmu dan pengalaman sepanjang berada dalam pengajian di Kampus Barakah ini untuk dimanfaatkan bersama masyrakat kelak. Sentiasa mengamalkan etika Islam dalam menjalankan sebarang tugasan. Tunjukkan akhlak yang terpuji serta jadilah profesional Muslim yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara. Elakkan dari melakukan kesalahan-kesalahan yang dilarang sama ada secara moral mahupun agama”, tambah Dato Ridza.

Bersempena majlis ini juga menjadi kenangan manis buat Muhammad Aiman Syafiq Zaidi,22, Muhammad Hariz Anuar,22, dan Suraya Natasha Hassan,22 apabila masing-masing dianugerahkan Pelatih Terbaik Keseluruhan, Pelatih Terbaik Latihan Luar dan Pelatih Terbaik Akademik.

Anak kelahiran Kuala Pilah, Muhammad Aiman Syafiq Zaidi yang merupakan pelajar jurusan Bioteknologi Makanan dari Fakulti Sains dan Teknologi ini melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana tidak menyangka mendapat pengiktirafan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan.

“Tiga tahun latihan di Suksis ini banyak perkara yang saya belajar dari sini, dari sudut mendisiplinkan diri, pengemasan diri dan latihan dan tunjuk ajar dari jurulatih, Alhamdulillah saya berjaya sampai ke tahap ini”.
“Bagi saya, bukan saya sahaja yang terbaik, semua pelatih adalah terbaik dan hanya bergantung kepada diri kita sendiri bagaimana untuk memanfaatkan ilmu itu. Setiap apa aktiviti yang kita lakukan, kita manfaatkan dan bersungguh-sungguh dalam melakukannya”.

13 skuad dengan 771 Pegawai Kor Suksis USIM telah ditauliahkan sejak ditubuhkan pada tahun 2006. Turut Hadir Prof. Dato’ Dr. Husaini Bin Omar, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan, Senior Asisten Komisioner Polis, Azhan Bin Abdul Halim Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan JPJKK Bukit Aman dan Assisten Komisioner Polis Kehormat Prof. Dr. Mohd Rushdan Bin Mohd Jailani Komandan Kor Suksis USIM.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan