77 staf menjalani saringan, operasi pentadbiran USIM berjalan seperti biasa

By |2020-10-08T07:58:12+08:00October 8th, 2020|Campus News, Featured Campus News, Highlights News, News|

NILAI, 6 Oktober 2020 – Susulan dari pengesahan rasmi bahawa YB Senator Dato’ Dr. Zulkifli Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah positif jangkitan COVID-19 pada 5 Oktober 2020, Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil tindakan yang sewajarnya.

Berdasarkan taklimat oleh Pejabat Kesihatan Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada pihak Pengurusan Universiti pada 5 Oktober 2020 (Isnin), ditekankan bahawa USIM tiada keperluan untuk menutup operasi kampusnya dan boleh meneruskan operasinya seperti biasa. Justeru, sukacita dimaklumkan operasi kampus USIM adalah berjalan seperti biasa dengan hanya beberapa jabatan sahaja ditutup sementara waktu sebagai langkah pencegahan.

Langkah pencegahan yang turut diambil ialah melaksanakan proses sanitasi pada 5 Oktober 2020 (Isnin) di beberapa lokasi di dalam kampus yang melibatkan keberadaan YB. Dato’ Dr. Zulkifli Al-Bakri oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat. YB Menteri telah hadir dalam beberapa program di kampus USIM pada Jumaat lalu, 2 Oktober 2020 iaitu menyampaikan Khutbah Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz seterusnya mengadakan mesyuarat bersama Pengurusan Universiti serta melancarkan Portal Jom Infaq USIM di Bangunan Canselori.

USIM turut mengambil langkah mengarahkan staf dari beberapa jabatan yang terlibat di dalam program yang melibatkan YB Menteri untuk melaksanakan kuarantin kendiri serta bekerja dari rumah (Work from Home) selama 14 hari mulai 6 sehingga 19 Oktober 2020. Seramai 77 staf USIM yang dikenalpasti sebagai kumpulan Kontak Kedua (Kontak Rapat) oleh Pejabat Kesihatan Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diambil ujian swab (swab test) mulai jam 2.30 petang hari ini (6 Oktober 2020) di Pusat Kesihatan Universiti. Universiti menasihatkan semua staf yang terlibat ini untuk melaksanakan kuarantin kendiri yang sebaiknya di kediaman masing-masing sehingga keputusan ujian diperolehi.

Masyarakat sekitar kampus dan warga USIM diminta untuk kekal bertenang, tidak panik dan sentiasa menjaga kebersihan diri dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Universiti telah mengambil segala langkah perlu berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan sebelum ini. Sekiranya didapati menghadapi gelaja-gejala dijangkiti Covid-19, staf adalah diminta segera berhubung dengan Pusat Kesihatan Universiti.

Bilik Gerakan Bencana USIM telah diaktifkan 24 jam dan boleh dihubungi di talian 06-798 6121  Bagi menyediakan informasi yang jelas dan tepat berkaitan situasi semasa kepada warga Universiti dan pihak luar. Pihak Pengurusan Tertinggi USIM sentiasa mengeluarkan hebahan terkini dari semasa ke semasa bagi makluman semua pihak.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

Go to Top