Putrajaya, 25 September 2010 – Tahniah diucapkan kepada Para Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sempena Majlis Konvokesyen ke-8 USIM. Pada tahun ini, seramai 892 graduan menerima ijazah mereka dalam pelbagai bidang pengajian termasuk graduan siswazah.

Majlis konvokesyen kali ini didahului dengan Majlis Konvokesyen Khas Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Ekonomi dan Muamalat) kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia yang bertanggung jawab meluluskan penubuhan universiti ini.

Ia merupakan tahun bersejarah bagi USIM kerana buat pertama kali telah dapat menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat yang pertama, dan lebih berasa bertuah dan berbangga, adalah kerana penerimanya adalah seorang negarawan yang terkenal dan tidak asing lagi iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri, Malaysia.

Pada kali ini, USIM buat pertama kalinya melahirkan graduan sulung bagi Program Profesional Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang (program dwi-pengkhususan) dan Program Sarjana Muda Perakaunan.

Majlis konvokesyen kali ini juga menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus yang pertama kepada Yang Berbahagia Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Haji Husin, Mantan Naib Canselor USIM dan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada seorang lagi tokoh terkemuka dari luar negara.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun kesepuluh penubuhan USIM, majlis konvokesyen kali ini amat bermakna sekali bagi para graduan, warga USIM dan KPT seluruhnya dan konvokesyen kali ini buat pertama kali diadakan dalam dua sesi.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028