NILAI, 19 Nov – Menepati ramalan dikalangan mahasiswa, Saudara Abdul Muiz Abdul Hakim, pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sesi 2014/2015. Beliau telah menerima undian tertinggi iaitu sebanyak 6,706 undi semasa hari pembuangan undi pada 10 November lalu.
Saudari Nurul ‘Atikah Mohammad Shafii, pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan yang mendapat 6,528 undi pula dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua (TYDP) MPP USIM dengan kedua-duanya bertanding atas Kerusi Umum pada pemilihan kali ini.
Majlis Penyerahan Watikah kepada 24 orang ahli MPP baharu USIM telah disempurnakan oleh Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM bertempat di Dewan Besar USIM sempena Majlis Amanat Perdana Naib Canselor bersama Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2014/2015.
Dalam ucapan sulungnya selaku YDP USIM, Abdul Muiz menyatakan kepimpinan MPP yang diketuai oleh beliau akan bekerja bersama-sama Pengurusan Universiti untuk menjayakan Pelan Strategik USIM 2013-2025. Pada masa sama juga akan membawa aspirasi Universiti untuk mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli dalam setiap agenda dan program yang dilaksanakan kelak.
Menurutnya lagi “Kepimpinan baharu yang membawa visi ‘Membangunkan Akal dan Jiwa Masyarakat USIM demi kecemerlangan Ummah’ beserta slogan “Langkah ini langkah kita bersama” akan menekankan kepada 4 bidang tujahan utama”.
“Aspek yang diberi perhatian oleh kepimpinan kali ini ialah pengfokusan dan penyusunan spiritual mahasiswa; memperkasakan intelektual mahasiswa; memperkenalkan Gagasan Kebajikan Universiti dan yang terakhir adalah mahasiswi asset berharga varsiti”
Ujarnya lagi “Di bawah portfolio TYDP yang disandang oleh Nurul ‘Atikah, beliau akan menekankan peranan dan memposisi mahasiswi secara berkesan di dalamkampusmelalui program pembinaan mahasiswi yang bersesuaian. Mahasiswi USIM yang terdiri lebih daripada 70% bilangan pelajar di kampus sememangnya memberikan impak yang sanga tbesar kepada Universiti”.
Pada majlis ini juga menyaksikan penyerahan dokumen serah tugas daripada mantan Yang Dipertua MPP sesi 2013/2014, Saudara Mohd Azmil Abu Seman kepada Abdul Muiz, penyampaian sijil penghargaan kepada mantan MPP USIM sesi lepas dan lafaz ikrar barisan kempimpinan MPP baharu.
Turut hadir ke majlis ini adalah Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Musatafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani, menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta Pengurusan Kanan Universiti yang lain.
Disediakan oleh :
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204