NILAI, 15 JAN 2015 – Pengasas kepadaThe Golden Web Foundation yang juga merupakan Felo akademik di University of Cambridge, Ahmed Keeler, dilantik sebagai Felo Kehormat Kursi Kepemimpinan Islam Tuan Guru Haji Mohd Yassin Bin Muhammad di Fakulti Kepimpinan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia bermula 1 Januari 2015 selama satu tahun.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa, USIM Prof Dr Zulkiple Abd Ghani, pelantikan beliau sebagai Felo Kehormat adalah signifikan dalam membantu USIM dan negara amnya untuk memperoleh input berkenaan perkembangan da’wah dan media di peringkat global.

“USIM mensasarkan untuk menjadi pusat rujukan global bagi integrasi ilmu Naqli dan Aqli menjelang tahun 2025. Justeru, pelantikan Ahmad Keeler, seorang Muslim berbangsa Inggeris dan seorang tokoh terkemuka dari University of Cambridge adalah langkah penting bagi menjalin hubungan akademik dan penyelidikan bersama universiti terkemuka dunia”, ujar Prof Zulkiple.

Ahmed Keeler mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman luas dalam bidang kesusasteraan dan kesenian. Beliau pernah menubuhkan Signal Gallery yang mana menghubungjalinkan antara seni, sains dan teknologi. Beliau juga merupakan pengasas The Oriental Centre, Institute of Contemporary Arts yang kemudiannya menganjurkan World of Islam Festival yang pertama di London pada November dan Disember 1971.

Beliau turut mengasaskan The Golden Web Foundation sebuah  projek yang bertujuan untuk memanfaatkan teknologi Internet bagimenyampaikan maklumat dan menghubungkan masyarakat seluruh dunia berkaitan sumbangan Islam terhadap perkembangan tamadun global. Ia turut menjadi wadah kepada perbincangan bagaimana Islam boleh menyediakan penyelesaian kepada cabaran semasa di era globalisasi.Selain itu, Mr. Ahmed Keeler turut bergiat aktif dalam perkongsiannya mengenai A Reflection of An English Muslim di serata dunia.

Menurut Prof Zulkiple, beliau berharap kerberadaanAhmed di USIM dapat di manfaatkan oleh warga universiti dan masyarakat Islam di Malaysia secara umumnya.

“Untuk bercakap mengenai Islam, kita bukan sahaja perlu mendengar daripada masyarakat di negara Islam sahaja, tetapi juga daripada umat Islam di negara Barat yang yang dapat memberikan perspektif yang berbeza untuk kita pelajari bersama. Ini membuktikan bahawa USIM sebagai institusi akademik adalah wadah kepada kepelbagaian pemikiranserta perbincangan intelektual sekaligus membuktikan bahawa Islam sebagai agama yang syumul”, ujar Prof Zulkiple

Tambahnya lagi, Ahmed akan turut dilantik untuk menjadi penasihat bidang da’wah dan media dalam Islam di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Disediakan oleh :

Dr. Faizal Kasmani

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204