HONG KONG, OGOS -Peluang menyertai 6th University Scholars Leadership Symposium bertempat di Hong Kong baru-baru ini menjadi pengalaman bermakna kepada dua mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Muhamad Amirul Razali, 21 dan Imran Razalle, 21 merasai sendiri denyut nadi kota metropolitan ini.

Kedua-duanya merupakan penuntut Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM menyertai simposium bertaraf antarabangsa yang dianjurkan oleh Humanitarian Affairs dengan kerjasama The Hong Kong Polytechnic University.

Bertemakan “Enrich. Educate. Enlighten”, program ini mengumpulkan seramai 876 delegasi yang merupakan penuntut institusi pengajian tinggi dari 57 negara seperti Indonesia, German, Austrlia, China, Oman dan Brunei. Selain padat jadual harian mengikuti pengisian berbentuk akademik seperti menghadiri 12 slot pembentangan oleh penceramah antarabangsa sepanjang di sana, masa senggang yang ada tetap dimanfaatkan untuk menyelami jiwa kota Hong Kong.

“Hong Kong mempunyai kawasan persekitaran yang bersih selain perkhidmatan pengangkutan awamnya yang sangat efisien dan diiktiraf oleh pelancong. Salah satu pengisian di sini ialah kami di bawa menyantuni orang-orang tua dan memberi bantuan ringan kepada mereka”.

“Polisi kerajaan Hong Kong begitu mengambil berat tentang kebajikan warga tua. Mereka yang berumur 70 tahun tahun ke atas biasanya akan diberikan tempat tinggal secara percuma dan wang belanja dalam sekitar HKD 1000-2000 sebulan. Ini dasar yang amat saya kagumi” ujar Amirul Razali.

Pengalaman menarik bagi Imran pula ialah menjalankan aktiviti bersama etnik minoriti terbesar di Hong Kong. “Empat kaum minoriti yang besar  di sini ialah Indonesia, Pakistan, Nepal dan Korea dan mereka ini diberikan taraf warganegara. Saya bersama 47 orang peserta yang lain ditugaskan melaksanakan pelbagai pengisian bersama mereka antaranya eksplorasi kebudayaan etnik dan melukis bersama artis cilik mereka”.

“Cabaran besar sepanjang di sana pastilah untuk mencari makanan halal dan jika ada sekalipun ianya agak jauh dari tempat kami menginap dan harganya dua kali ganda mahal berbanding di Malaysia” tambahnya lagi.

Selain menghadapi kesukaran makanan halal, harga barangan lain juga memang agak mahal dan dengan perbelanjaan wang tunai yang diberikan Universiti, ia serba sedikit bebanan kewangan. Kondisi cuaca yang agak kering dan lebih panas di Malaysia memerlukan mereka minum air mineral dengan kerap untuk mengelakkan dehidrasi.

Antara Universiti Malaysia lain yang turut menghantar pelajar ke simposium ini adalah Universiti Utara Malaysia, Universiti  Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kuala Lumpur pernah dipilih menjadi tuan rumah penganjuran University Scholars Leadership Symposium pada tahun 2011.