NILAI – Pengurusan ekonomi serta penyediaan perancangan belanjawan tahunan negara setiap tahun yang baik oleh Kerajaan termasuk pembentangan Bajet 2013 pada bulan September 2012 lalu mencerminkan sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab. Limpahan kemakmuran ekonomi diberikan kepada rakyat pelbagai peringkat, malahan golongan pelajar Universiti juga tidak diabaikan melalui pemberian pelbagai bentuk bantuan untuk mereka.
Menurut YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Mentor USIM “Kerajaan amat prihatin kepada pembangunan pendidikan negara dan buktinya hampir RM 50 bilion iaitu kira-kira 1/4 daripada keseluruhan Bajet 2013 dikhususkan untuk tujuan ini. Perkara ini dibuat dengan perancangan yang teliti, bukannya secara terburu-buru dan turut dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum diluluskan”.
Beliau dijemput bagi merasmikan Majlis Penyerahan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) di Galeri Bangunan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada para pelajar baru-baru ini. Ketibaan YB Menteri Mentor disambut dengan persembahan istimewa yang dijayakan oleh pelajar Unit Kebudayaan dan Kesenian, Bahagian Hal Ehwal Pelajar ternyata menarik perhatian beliau.
Pada tahun ini, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan nilai BB1M daripada RM 200 kepada RM 250 kepada setiap pelajar bagi meringankan bebanan kewangan mereka bagi membeli bahan-bahan bacaan akademik. Selain itu, melalui pemberian KADS1M yang diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) secara tidak langsung turut membantu pelajar merancang perbelanjaan harian dengan pemberian diskaun 1 hingga 60 peratus bagi item atau perkhidmatan terpilih.
“Kedua-dua bantuan ini (BB1M dan KADS1M) adalah satu petunjuk bahawa kita menyedari keperluan dan tuntutan para pelajar ini. Oleh itu, saya juga menyeru para mahasiswa untuk bersama-sama menjayakan Social Transformation Programe (STP) yang sedang dilaksanakan kini. Program ini bertujuan murni untuk memupuk perasaan sayang dan kasih kepada Negara kerana kita sedia maklum golongan belia adalah pemimpin pada masa hadapan” tambahnya lagi.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Pengurusan Universiti dan para pelajar.
Disediakan oleh :
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM