AYER KEROH, 11 April – Bergema Lapang Sasar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang dengan bunyian tembakan senjata Colt M16-A1 apabila seramai 187 orang pelatih Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (Suksis) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengikuti program menembak tahunan anjuran Suksis USIM di sini.

Para pelatih yang terdiri daripada Skuad 7, 8 dan 9 ini ternyata teruja dengan program yang diaturkan khas untuk mereka ini. Ia sebagai salah satu keperluan bagi memenuhi modul-modul latihan sepanjang mereka mengikuti Kor Suksis.

Dikendalikan oleh Unit Persenjataan (AMRA) IPK Negeri Sembilan yang terdiri daripada 13 orang jurulatih, ia telah memberi keyakinan dan keberanian kepada peserta untuk menyelesaikan tugasan ini terutamanya bagi mereka yang kali pertama merasai pengalaman memegang senjata.

Bagi Najwa Murtadza, 20, pelajar Tahun Satu Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) dari Skuad 9, ini merupakan pertama kali beliau memegang senjata M16.

“Perasaan saya amat teruja untuk mengikuti latihan menembak pada hari ini. Walaupun diakui rasa gementar itu ada apabila mendengar bunyi tembakan M16, tetapi dengan adanya jurulatih di sisi memberi nasihat seperti mengawal pernafasan dan membetulkan posisi menembak yang betul, ia amat membantu melegakan saya ketika itu. Saya sungguh seronok untuk mengikuti latihan seperti ini lagi” ujarnya.

Menurut Jamiqulhuda Ahmad, 21, pelajar Tahun Dua Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dari Skuad 7 menyifatkan latihan seperti ini amaf bagus kerana ia melatih untuk para peserta lebih fokus dan berdisiplin.

“Sepanjang empat semester mengikuti latihan Kor Suksis USIM, ini merupakan kali keempat saya mengikuti latihan menembak seperti ini. Ia secara tidak langsung mengasah bakat saya dalam lapangan ini kerana markah yang diperolehi lebih baik dari sebelum ini.” katanya.

Sepanjang mengikuti Kor Suksis selama enam semester, para pelajar berpeluang untuk mengikuti beberapa siri latihan menembak menggunakan pistol Smith &Wesson.38 dan M16. Melaluinya, ia dapat memantapkan kemahiran pelatih dalam mengendalikan senjata dan menembak.

Sebelum mengikuti latihan menembak ini, para peserta akan mengikuti latihan musketery terlebih dahulu bagi memastikan para pelatih bersedia dan mengenali fungsi senjata yang digunakan serta aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian.

Program menembak kali ini turut disertai oleh Pengurusan Kanan Universiti antaranya Prof. Dato’  Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor ; Prof Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Komandan Kor Suksis USIM; para Pegawai Kehormat dan Jurulatih Kor Suksis USIM.

Pada bulan Ogos nanti, dijangka seramai 56 orang pelatih dari Skuad 7 akan menamatkan latihan dan seterusnya ditauliahkan sebagai Inspektor Kor Suksis dalam satu majlis khas di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204