SEREMBAN – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkukuh usaha memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar menerusi Program “Hijaukan Masjid, Suburkan Iman” yang berlangsung di Masjid Sri Sendayan pada 17 Jun 2026 baru-baru ini.
Program yang menggabungkan elemen pertanian, kelestarian alam dan penghayatan nilai Islam itu selari dengan pendekatan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang menjadi teras pendidikan USIM.
Dianjurkan oleh AGROSIS Usahawan Tani Sesi 2025/2026 dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM, program tersebut memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu pertanian yang dipelajari dalam situasi sebenar melalui interaksi bersama komuniti setempat.
Berteraskan slogan “Memacu Pertanian Lestari Generasi Kini”, program berkenaan turut menjadi medan bagi mahasiswa meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritis dan kerja berpasukan menerusi pengalaman mengurus serta melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.
Inspirasi program itu diambil daripada hadis riwayat Muslim yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan,” yang menekankan kepentingan memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran sebagai sebahagian daripada tuntutan agama.
Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Bengkel Asas Penanaman yang memberi pendedahan mengenai teknik penanaman yang betul serta Pameran Anak Pokok yang memperkenalkan pelbagai jenis tanaman kepada pengunjung.
Turut diadakan ialah kuiz berkaitan pertanian dan kelestarian alam sekitar, selain pengagihan anak pokok kepada jemaah masjid bagi menggalakkan mereka membudayakan aktiviti penanaman di kediaman masing-masing.
Hasil kerjasama mahasiswa, pihak masjid dan komuniti setempat, kawasan sekitar Masjid Sri Sendayan berjaya diceriakan dengan tanaman baharu, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, indah dan menghijau.
Pengarah Program “Hijaukan Masjid, Suburkan Iman”, Muhammad Solihin Semadi berkata, program itu bukan sekadar aktiviti menghijaukan kawasan masjid, malah menjadi usaha mengajak masyarakat menghargai alam sekitar sambil mengimarahkan rumah Allah.
“Hijaukan Masjid, Suburkan Iman bukan sekadar tema program, tetapi usaha mengajak masyarakat bersama-sama menghargai alam sambil mengimarahkan rumah Allah.
“Semoga setiap pokok yang ditanam menjadi amal jariah dan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya lagi, mahasiswa bukan sahaja memperoleh pengalaman praktikal dalam bidang pertanian, malah dapat memupuk nilai kerjasama, disiplin dan tanggungjawab menerusi penglibatan secara langsung dalam program tersebut.
Program itu turut berjaya mengeratkan hubungan antara mahasiswa USIM, pihak pengurusan masjid dan komuniti setempat, di samping menggalakkan pengimarahan masjid melalui aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Penganjur berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar, memperkukuh amalan pertanian lestari dan melahirkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap kesejahteraan generasi akan datang.
Program tersebut membuktikan bahawa usaha memelihara alam sekitar boleh dilaksanakan seiring dengan penghayatan nilai Islam melalui kerjasama antara institusi pendidikan, masjid dan komuniti setempat.
Oleh: Nor Amira Azwa Mohd Rozi

