NILAI, 28 September 2020 – Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 28 September 2020 hingga 27 September 2022. Pelantikan beliau dibuat oleh YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi  adalah selaras dengan Seksyen 17(1)(f) Perlembagaan USIM (Wakil Swasta).

Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim bukanlah insan yang asing dalam arena pendidikan tinggi negara kerana pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 16 tahun bermula 1988 hingga 2004. Anak kelahiran Kedah yang mendapat pendidikan menengah di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah (1977-1982) ini mempunyai latar belakang pendidikan tinggi yang cemerlang iaitu merupakan lulusan Sarjana Muda Tafsir dan Hadis dari Universiti Al-Azhar Mesir (1984-1987) serta memiliki Ijazah Sarjana Shariah Islamiyyah (1994) dan Doktor Falsafah (PhD) Shariah Islamiyyah (1997) dari Darul Ulum, Universiti Kaherah, Mesir. Malah, beliau turut memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang ‘Revealed Knowledge and Heritage’ dari UIAM (1991)

Beliau mula menceburi bidang politik apabila memenangi kerusi Parlimen Baling pada Pilihanraya Umum 2004 dan terus diberi kepercayaan oleh Kerajaan untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri selepas itu (2004-2008). Pada 2008, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Dato’ Dr. Mashitah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui lantikan sebagai Senator.

Dato’ Dr. Mashitah turut berkhidmat dan menyumbang dalam pelbagai lapangan lain berkaitan institusi agama Islam, pendidikan dan industri antaranya Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (2012-kini); Pengarah Grand Commerce Network Sdn. Bhd (2014-kini); Panel Perunding Majlis Perundingan Islam (MPI) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (2015-2018); dan mendapat kepercayaan Majlis Raja-raja sebagai Ahli Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) mulai 2006-2014.

Pengurusan Universiti berbesar hati dan menyambut baik pelantikan ini kerana percaya atas pengalaman yang dimiliki oleh Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim akan mampu memberi sumbangan yang signifikan untuk membawa USIM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang. Universiti turut meletakkan harapan pelantikan ini akan memacu lebih laju agenda Misi USIM 2022 iaitu untuk menjadi Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi dan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan