NILAI, 20 November – Dalam usaha meningkatkan penghayatan Islam kepada kakitangan dan pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Universiti pada 19 dan 20 November 2014.  Program anjuran Pusat Islam USIM merupakan acara tahunan yang mampu meningkatkan rasa kasih dan cinta kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada Islam secara keseluruhannya.

Perarakan serta salawat turut diadakan yang terdiri dari 22 kontinjen yang melibatkan seramai lebih kurang 1000 kakitangan dan pelajar USIM bermula dari Fakulti Ekonomi Muamalat USIM dan berakhir di Dewan Besar.

Dr. Wan Abdul Fattah bin Wan Ismail, Pengarah Pusat Islam dalam ucapannya mengatakan asas penghijrahan yang diterapkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya ialah dengan menyematkan dan memantapkan pegangan akidah.

“Oleh kerana itulah, pada masa hadapan  Pusat islam bukan hanya memfokuskan kepada pemantapan akidah pelajar-pelajar, bahkan warga USIM perlu dilibatkan sama. Modul-modul pemantapan sahsiah dan akidah akan dirangka yang perlu diduduki oleh kakitangan sasaran. Diharapkan dengan program ini akan menjadikan kecemerlangan USIM seiring dengan kemantapan akidah”, tambah Dr. Fattah.

Majlis kemuncak adalah pemenang perbarisan terbaik dan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah USIM 1436H yang terdiri dari tiga kategori iaitu kategori pentadbiran, akademik dan pelajar. Bagi kategori akademik, Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1436H, kategori pentadbiran pula dianugerahkan kepada Puan Nor Azzah Momin, manakala kategori pelajar dianugerahkan kepada saudari Riza’ Asma’a Saari, pelajar Fakulti Sains dan Teknologi . Perbarisan terbaik pula dimenangi oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Antara kriteria utama Tokoh Maal Hijrah, penerima haruslah terlibat secara langsung dalam aktiviti sosial, ekonomi dan pendidikan yang  memberi kesan kepada  gerakan  dan perkembangan Islam Universiti, mempunyai nilai-nilai akhlak yang baik dan terpuji dalam kehidupan bermasyarakat, berkeluarga dan sebagai individu muslim, berpengetahuan luas dan mendalam dalam disiplin ilmu yang dimanfaatkan ke arah pembangunan ummah, agama dan Negara, mempunyai sifat dan peribadi yang unggul, yang boleh dijadikan tauladan

Penerima dianugerahkan sijil, trofi dan wang tunai RM1,000 dan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Y.Bhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204