NILAI, 9 MEI 2016 – Dewan Syura Siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kali pertama bersidang membahaskan 12 usul penting berkaitan kemahasiswaan yang berlangsung di Dewan Senat Universiti.  Penubuhan Dewan Syura Siswa dan penganjuran persidangan yang mendapat sokongan penuh Pengurusan Universiti ini dirasmikan pembukaannya oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Zulkiple Abdul Ghani.

Persidangan yang seumpama Dewan Rakyat ini melibatkan wakil-wakil mahasiswa USIM yang terdiri daripada wakil-wakil kelab dan persatuan di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, sekretariat-sekretariat pelajar fakulti, badan beruniform, jawatankuasa kebajikan kolej kediaman dan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar.

Sebanyak 40 usul cadangan diterima oleh Jawatankuasa Dewan Syura Siswa daripada mahasiswa apabila tempoh penghantaran usul dibuka mulai 26 April 2016 sehingga 2 Mei 2016. Setelah penelitian rapi serta mengambil kira peraturan usul mengikut Perlembagaan Dewan Syura Siswa, hanya 12 usul disenarai pendek untuk dibahaskan oleh perwakilan.

Usul-usul yang dibahaskan mencakupi empat tema utama iaitu kebajikan, akademik, kerohanian dan kewangan.  Antara usul yang dibahaskan ialah mewujudkan Pusat Inovasi Pelajar dan meningkatkan dana inovasi pelajar; Memperbaiki tahap penguasaan bahasa asing dan budaya celik Al-Quran pelajar; Mewujdukan prosedur operasi standard bagi aktiviti rondaan malam oleh pelajar (Assas); Menubuhkan tabung kebajikan pelajar luar kampus; dan Memasukkan Perlembagaan Dewan Syura Siswa ke dalam Perlembagaan USIM.

Persidangan yang bermula jam 8.00 pagi dan jangkaan tamat jam 3.00 petang menyaksikan hampir 10 jam perbahasan berlangsung apabila tamat kira-kira jam 6.00 petang. Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Imran Razalle memuji kehebatan dan semangat para perwakilan membahaskan 12 usul secara kritikal dan matang.

“Dewan Syura Siswa terbina atas roh dan semangat untuk menjunjung institusi syura serta usaha murni untuk merakyatkan suara mahasiswa. Seharusnya dewan ini menjadi ruang untuk pemimpin mahasiswa membahaskan usul-usul serta idea-idea yang mampu membangunkan akal dan jiwa masyarakat USIM demi kegemilangan ummah,” ulasnya.

Perwakilan dari Sekretariat Pelajar Nadi Thaqafah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Aimi Zuhrina Mohd Razlee menyifatkan penganjuran julung kali persidangan Dewan Syura Siswa mencapai matlamat. Ujarnya persidangan ini membawa kepada perbahasan dan diskusi ilmiah yang sihat antara semua ahli Dewan yang bersidang dan turut menyeru para mahasiswa untuk cakna dan peka dengan isu semasa supaya dapat bersama-sama memimpin perubahan.

Dewan Syura Siswa USIM berperanan untuk membahaskan isu semasa yang berlaku di dalam dan di luar kampus samaada diperingkat nasional mahupun antarabangsa dan isu melibatkan moral dan etika.  Ia juga turut berperanan untuk membahaskan peraturan-peraturan Universiti termasuk melibatkan Kaedah-kaedah USIM  (Tatatertib Pelajar-pelajar) 2009 sebelum di bawa kepada Pihak Pengurusan Universiti.

USIM merupakan Universiti Awam ketujuh melaksanakan persidangan perwakilan pelajar seperti ini selepas beberapa buah universiti lain seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Sabah. Seramai 114 ahli perwakilan terlibat dalam persidangan sulung ini yang  dipengerusikan oleh Nazrul Muhamad Nazir, pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang selaku Yang Dipertua Dewan.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204