NILAI, 25 OGOS 2015 – Dua penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dipilih mewakili Universiti menyertai program khas kepimpinan di Universiti Oxford, United Kingdom (UK). Program Student Parliament : Oxford Leadership Programme 2015 julung kali dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapat kerjasaman Kementerian Pendidikan Tinggi dan Oxford Academy for Education and Developement  (OAED).

USIM diwakili oleh Abdul Muiz Abdul Hakim, 22, pelajar jurusan Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang dan Muhammad Miqdam Rashid, 22, pelajar Sarjana Muda Matematik Kewangan, Fakulti Sains dan Teknologi.

Seramai 18 orang terpilih dikalangan pemimpin Parlimen Mahasiswa di universiti masing-masing untuk berada di Oxford University selama seminggu. Mereka telah memulakan kursus pada Ahad lalu (23 Ogos) sehingga Sabtu ini (29 Ogos).

Ketika dihubungi di sana, Abdul Muiz yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM menyifatkan peluang yang diberikan ini memberi ruang kepadanya untuk meneladani Parlimen British, transformasi kepimpinan dan pemilihan di Oxford Union.

”Ia sesuatu yang saya tidak sangka dan kesempatan yang diberikan sebegini rupa akan saya manfaatkan sebaiknya. Sesuai dengan kapasiti saya pemimpin pelajar di kampus, saya akan mengambil dapatan dan idea menarik di sini untuk di manfaatkan di Universiti kelak. Saya juga telah melakukan kajian berkaitan institusi Parlimen dan Kesatuan Pelajar di Malaysia dan Britain sebelum ke sini sebagai input awal” ujarnya.

Manakala bagi Muhammad Miqdam selaku Presiden Sekretariat Kesukarelawan Mahasiswa USIM pula, beliau melahirkan ucapan terima kasih kepada Pengurusan Universiti kerana mempercayai kemampuan dirinya.

”Pastinya saya memanjatkan kesyukuran terpilih ke menjejakkan kaki di Universiti Oxford, dan segala pengisian yang disusun khas untuk kami di sini, akan diterjemahkan dengan sebaiknya untuk pembangunan ummah dan negara. Ia sesuatu yang baru bagi saya, justeru pembacaan awal berkaitan ekonomi, sosio masyarakat, budaya dan pencapaian negara ini amat membantu” ujarnya lagi.

Sepanjang di sana, mereka akan mengikuti kursus berbentuk kepimpinan; kebolehpasaran kerjaya; keusahawanan; program khidmat komuniti dan melihat kemudahan di Universiti Oxford seperti Bodleian Library, Blackwells Bookshop dan Oxford Natural History Museum.

Pengisian lain yang amat dinantikan oleh peserta adalah forum bersama Pemimpin Mahasiswa Malaysia di UK. Ahli panel yang terlibat adalah Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Dato’ Sri Hj. Abdul Aziz Abdul Rahman; Rektor UIAM, Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin bersama wakil pemimpin pelajar.

Student Parliament : Oxford Leadership Programme 2015 bertujuan untuk membangunkan kemahiran kepimpinan pelajar dan memberikan mereka pendedahan kepada pelbagai individu pakar di Oxford, pengalaman budaya dan pendedahan berkaitan institusi parlimen di luar negara. Pengisian ini secara langsung dapat mempersiapkan mereka sebagai pemimpin pelapis yang menyumbang kepada kecemerlangan universiti dan agen perubahan kepada masyarakat sekitar.

Program sulung ini turut disertai pemimpin pelajar dari UIAM, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Utara Malayia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaysia Sabah.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204