SEREMBAN, 24 OKT 2016 –  Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud hari ini berkenan menerima watikah pelantikan sebagai Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi tempoh tujuh tahun berkuat kuasa 1 Dis ini sehingga 30 November 2023.

Ini merupakan pelantikan kali kedua baginda selaku Canselor USIM dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda dilantik kali pertama sebagai Canselor  pada 2011 dengan istiadat pemasyhuran Tuanku Canselor secara rasmi dibuat semasa Majlis Konvokesyen USIM kali ke-9 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad mengetuai Pengurusan Universiti mempersembahkan watikah itu kepada DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan di Istana Hinggap, Seremban pada pagi tadi.

Majlis Sembah Mengadap ini turut disertai oleh Profesor Dr. Zulkiple Abdul Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM; Encik Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM; dan Dr. Faizal Kasmani, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM.

“Warga USIM menyembah tahniah dan menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku atas pelantikan semula (kali kedua) ini  untuk terus memayungi USIM  sebagai Tuanku Canselor. Sesungguhnya, kepimpinan dan keprihatinan DYMM Tuanku  pada perkembangan Universiti sejak dilantik sebagai Canselor  amat dihargai dan seterusnya melonjakkan lagi nama Universiti di persada pendidikan tinggi negara”.

“DYMM Tuanku sentiasa memberi buah fikiran untuk kecemerlangan universiti yang mendukung integrasi ilmu Naqli dan Aqli ini. Malah Tuanku sentiasa  menyokong dan melibatkan diri dengan aktif dalam program-program utama Universiti seperti Majlis Konvokesyen, Kejohanan Golf Amal Piala Tuanku Canselor, Ekspo Inovasi Islam, Lawatan Kerja dan Diraja”.

” Pengurusan Universiti juga dari semasa ke semasa  menyembah maklum kepada Tuanku perkembangan terkini universiti. Pada tahun lalu Tuanku turut berkenan mencemar duli merasmikan Dewan Tuanku Canselor USIM” ujar Naib Canselor.

Pada majlis sembah mengadap  kepada DYMM Tunku Ampuan Besar ini juga, Tuanku turut berkenan mendengar persiapan Universiti untuk menganjurkan Majlis Konvokesyen USIM Ke-14 pada 19 hingga 21 November ini.  DYMM Tuanku turut berkenan berangkat mencemar duli ke Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen USIM nanti akan disempurnakan oleh DYMM Tuanku Canselor pada 19 November (sidang pertama) nanti.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204