NILAI, 16 Mac – Buat julung kalinya Festival Sukan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FESBUK) anjuran Exco Sukan Dan Rekreasi Nadi Thaqafah berjaya dilaksanakan pada 14 dan 15 Mac 2015 yang lalu bertempat di Kompleks Sukan Tunku Najihah, USIM.

Sebanyak 9 acara sukan  dipertandingkan yang membawa objektif untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang cerdas disamping mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan antaranya futsal, bola jaring, bola tampar, bola baling, sepak takraw, catur, memanah, badminton dan ping pong. Ini sekaligus memberi peluang kepada pelajar untuk berani mencuba serta mencungkil bakat baru atlet sukan yang boleh diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi untuk mewakili fakulti dalam kejohanan SUFA 2015.

Dengan tema “Thrilling Games, Harmonious FPBU”, ternyata  festival ini berjaya menarik minat dan perhatian mahasiswa mahasiswi tahun 1 hingga tahun 3. Festival seperti ini dapat mengukuhkan perasaan muhibah dan bersatu padu dan bersama-sama menaikkan nama fakulti dalam bidang sukan di arena sukan USIM.

“Aktiviti keusahawanan yang diselitkan dalam FESBUK secara tidak langsung memberi peluang kepada mahasiswa belajar unutk menjana kewangan. Disamping mereka datang untuk bersukan, ada peluang disisi lain untuk mereka belajar,” ujar Mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dato’ Dr Mohamed Asin Dollah yang hadir sebagai perasmi majlis penutup.

Pengarah FESBUK, Mohd Syahrul Nizam Bin Mohd Ariff menyatakan beliau menyahut cabaran untuk melaksanakan program ini dan menganggap ianya sebagai satu tanggungjawab beliau selaku Exco Sukan dan Rekreasi Nadi Thaqafah FPBU untuk menggalakkan mahasiswa menjadi pelajar yang proaktif, inovatif, sihat, cerdas dan berwawasan tinggi.

“Keseimbangan bidang akademik dan kokurikulum amat penting bagi seseorang yang bergelar mahasiswa kerana dengan keseimbangan inilah mampu melahirkan mahasiswa yang cemerlang dan suatu hari nanti menjadi tunggak dan aset penting negara,” katanya selepas berakhirnya Majlis Penutup FESBUK.

Disediakan Oleh:

Noorlini Binti Zulkifli

Pelajar Tahun 3, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM

Dikemaskini oleh :

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)