Bandar Baru Nilai, 5 Mac 2011 – Buat kali ketiga berturut-turut Fakulti Syariah dan Undang-Undang telah dinobatkan sebagai pemenang Piala Pusingan Naib Canselor  di atas kejayaan pasukannya yang telah layak ke peringkat akhir dalam dua kategori iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Melayu. Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Prof. Dr. Haji Abdul Samat Musa telah menerima Piala Pusingan daripada Naib Canselor USIM.

Bermotokan “Membina Pewaris Legasi Gemilang”, Kelab Debat Universiti Sains Islam Malaysia telah menganjurkan Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM 2011. Program yang dianjurkan oleh Kelab Debat USIM dengan kerjasama Unit Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta fakulti-fakulti dan Pusat Tamhidi ini telah berlangsung pada 25, 26, 27 Februari dan 5 Mac 2011 yang lalu. Program ini telah berlangsung di Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Pada tahun ini juga, pihak penganjur telah meluaskan penyertaan kepada kolej-kolej kediaman untuk menghantar penyertaan. Kejohanan ini mendapat penyertaan penuh daripada 8 buah fakulti serta Pusat Tamhidi (Matrikulasi) dan 4 buah kolej kediaman untuk ketiga-tiga kategori iaitu Kategori Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Dalam mencapai objektifnya untuk mencungkil bakat dan membina barisan pelapis pendebat yang mantap, Kelab Debat telah melakukan transformasi dalam konsep pelaksanaannya. Dalam kejohanan pada kali ini, Kelab Debat telah menganjurkan Kursus Intensif Debat selama sehari yang dikendalikan oleh Unit Debat Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab yang dikendalikan oleh para pendebat universiti. Pendedahan awal mengenai perdebatan serta teknik-teknik perdebatan yang betul telah diterapkan dalam kursus ini. Menurut Saudara Zulfawwaz Bin Mohmad, Pengarah Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM 2011, “Kursus ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta apabila dewan kursus dipenuhi oleh para peserta yang gigih dan bersemangat sekali untuk belajar dan bersaing dalam kejohanan debat ini”.

“Pihak penganjur juga telah menetapkan satu syarat baru iaitu larangan kepada pendebat universiti dari menyertai kojohanan ini selari dengan matlamat utama kejohonan ini iaitu ingin mencari pelapis baru pendebat universiti untuk masa hadapan. Jadi, kita tidak risau untuk membentuk pasukan pelapis yang akan meneruskan kegemilangan debat USIM ini”, tambah beliau lagi.

Pertandingan Akhir Kejohanan Debat Piala Naib Canselor kategori Bahasa Melayu telah berlangsung pada 5 Mac 2011 bertempat di Dewan Kuliah Pusat 4 yang turut disaksikan oleh Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM. Pihak pencadang daripada Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) telah mengemukakan usul “Malaysia perlu lebih terbuka” dan dibangkang oleh pasukan daripada Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) yang bertindak selaku pihak pembangkang. Pasukan FSU diwakili oleh Aizat Shamsuddin, Mohd Azuwa Hasan, Nur Syuhada Amer dan Ummu Hani Sulaiman. Manakala pasukan FKP diwakili oleh Nuraini Sobri, Abdul Rahman Abdul Kodir, Muhd Ariff Bashiruddin Muhd Rusli dan Siti Normuflita Mohd Shafie. Para juri majoriti telah memilih pasukan daripada FKP sebagai johan bagi kategori ini sekaligus telah menundukkan pasukan yang digeruni daripada FSU. Manakala Saudara Muhd Ariff Bashiruddin telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik. Johan telah membawa pulang Piala Pusingan, Piala Iringan serta Sijil Penghargaan manakala Naib Johan membawa pulang Piala Iringan serta Sijil Penghargaan.

Pertandingan Akhir Kejohanan Debat Piala Naib Canselor kategori Bahasa Arab telah dimenangi oleh Fakulti Syariah dan Undang-Undang menewaskan Fakulti Pengajian Bahasa Utama yang hanya bergelar Naib Johan. Manakala Kategori Bahasa Inggeris pula Fakulti Pergigian telah berjaya membuktikan kebolehannya apabila berjaya menewaskan pasukan daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Turut hadir Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Y. Bhg. Prof. Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Y. Bhg. Dr. Rushdan Jailani, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Oleh
Zaharah Zainal Abidin
Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Sains Islam Malaysia