SEPANG, 11 Jun – Memberi pengetahuan kepada umat Islam setempat mengenai pengurusan jenazah yang merupakan tuntutan fardhu kifayah dalam agama, seramai 23 orang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah baru-baru ini.

Dianjurkan sepanjang sehari bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang bertempat di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor berjaya menarik minat 52 orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan dewasa.

Kumpulan siswa USIM ini yang merupakan peserta Global Islamic Student Outreach (GISO) Rahmatan Lil ‘Alamin ke Sydney, Australia pada Ogos nanti mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Sepang dan Ustaz Mohd Zulrushdi Salleh, Pegawai Hal Ehwal Islam, Masjid Putra, Putrajaya selaku penceramah di kursus ini.

Antara objektif Kursus Pengurusan Jenazah ini dianjurkan adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat Islam tentang kepentingan mengetahui cara pengurusan jenazah, kaedah pengurusan yang betul, memberi kesedaran serta memenuhi tuntutan fardhu kifayah dalam menjalani kehidupan seharian.

“Sebaik-baiknya dalam keluarga, biarlah ahli keluarga itu sendiri menguruskan jenazah ahli keluarganya yang lain, seperti anak-anak menguruskan jenazah ibu bapa mereka atau sebaliknya, dan suami menguruskan jenazah isterinya atau sebaliknya, kerana ahli keluarga sendiri dapat menjaga aib ahli keluarganya yang lain dengan baik” ujar Ustaz Mohd Zulrushdi Salleh yang turut terlibat menguruskan jenazah mangsa tragedi MH17 lalu.

Muhammad Irfan Bin Mohd Jaleel, Naib Yang Dipertua , Majlis Perwakilan Pelajar USIM yang terlibat dalam kursus ini turut teruja mengikutinya sepanjang hari kerana pengisian secara teori dan amali seperti proses memandikan, mengkafankan sehinga pengebumian.

“Mempelajari cara pengurusan jenazah merupakan antara inisiatif yang dapat mengingatkan kita kepada kematian terutama sekali bagi masyarakat Islam. Betapa signifikannya mempunyai pengetahuan yang mendalam berkaitan perkara ini agar setiap umat Islam mampu untuk membantu menguruskan jenazah terutama sekali jenazah ahli keluarga sendiri pada masa hadapan” katanya yang ditemui selepas kursus.

Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Puan Rohaya Datuk Mohd Shahir, Ahli Majlis Perbandaran Sepang.

Disediakan oleh:

Global Islamic Student Outreach (GISO) Rahmatan Lil ‘Alamin ke Sydney, Australia

Dikemaskini oleh :

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204