TAMPIN, 22 Februari 2020- Seramai 38 pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya laksanakan Hari Intervensi Kesihatan USIM 2020 yang dijalankan kepada komuniti Taman Indah, Tampin Negeri Sembilan. Majlis Perasmian Penutup dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan S. Veerapan A/L Superamaniam, Ahli Dewan Undangan Negeri Repah.

Program ini merupakan kajian yang diadakan selama 5 minggu kepada penduduk Taman Indah yang berumur 18 hingga 65 tahun mengenai pengetahuan, sikap dan amalan mengenai imunisasi kanak-kanak dalam kalangan orang dewasa.

Dalam ucapan Prof Madya Dr Rushdan Mohd Jailani Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, besarlah juga harapan USIM dengan adanya sumbangan daripada pelbagai organisasi dan individu, maka penglibatan pelajar USIM dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang memberi nilai tambah kepada pelajar itu sendiri dapat ditingkatkan lagi.

”Kami amat berterima kasih kepada Yang Berhormat Tuan S. Veerapan A/L Superamaniam, Ahli Dewan Undangan Negeri Repah atas sumbangan yang diberikan untuk menjayakan program pada hari ni” ujar Prof Rushdan.

”Syabas saya ucapkan kepada pelajar Tahun 4 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM dan saya berharap program seperti ini dapat merapatkan jurang antara ahli universiti dengan masyarakat, di samping menambah pengalaman bakal-bakal doktor”, tambah beliau lagi.

Menurut Pengarah Program saudara Aiman Arif Arifin, kajian ini dilakukan melalui kaedah temuramah dari rumah ke rumah dengan menggunakan borang kaji selidik. Hari Intervensi ini merupakan kesinambungan daripada kajian tersebut bagi membentangkan hasil kajian yang telah dijalankan selama 5 minggu itu.

”Antara objektif program ini juga adalah bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kepekaan penduduk Taman Indah khususnya mengenai penyakit  yang boleh dicegah dengan imunisasi terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, program ini juga turut menyediakan pameran kesihatan dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk sekitar dan para pengunjung yang hadir”, ujarnya lagi.

Antara aktiviti lain yang dijalankan adalah ceramah kesihatan yang bertajuk penjagaan luka dan sakit belakang yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Hilmi Mohamad Nazarallah, Pensyarah dan Pakar Ortopedik USIM, manakala ceramah bertajuk Mitos Vaksin disampaikan pula oleh Dr. Halimah Abd Halim Pensyarah dan Pakar Pediatrik USIM. Aktiviti lain adalah derma darah, pemeriksaan gigi,  pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka dan senamrobik.

Prof. Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan