NILAI – Sebagai salah satu bentuk penzahiran kecintaan kepada Rasulullah SAW serta protes terhadap penghinaan kepada Baginda yang dilakukan oleh media Barat, warga USIM telah turun beramai-ramai ke Perhimpunan Mengingati Rasulullah SAW “We Love Prophet Muhammad” yang diadakan di Dataran Canselori USIM baru-baru ini.
Kebiadapan media Barat atas alasan dangkal menjunjung kebebasan dan hak asasi dalam mempelopori penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan Agama Islam melalui penerbitan karikatur, penulisan serta kenyataan yang mempertikaikan kesucian Agama Islam telah membangkitkan kemarahan masyarakat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Kemuncak kemarahan masyarakat Islam seluruh dunia apabila filem berjudul “Innocent of Muslims” ditayangkan di laman sesawang You Tube yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW sebagi penipu, melakukan hubungan seks serta menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai telah mencetuskan penentangan dan kecaman hebat .
Melihat kepada keadaan semasa, perhimpunan yang berlangsung aman ini bukan sahaja melambangkan keprihatinan dan kesepaduan warga USIM dalam mengecam sebarang tindakan yang menghina Rasulullah SAW dam Agama Islam, malah turut menjadi medan para hadirin bermuhasabah bagi menginsafi punca berlakunya penghinaan dan penindasan kepada umat Islam saban hari.
Majlis yang turut dihadiri oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM serta Pengurusan Tertinggi Universiti dimulakan dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran bersama tafsirannya oleh Saudara Mohd Husaini Mahmur yang menceritakan ketertinggian pekerti Rasulullah SAW.
Selepas itu, para hadirin di bawa untuk menghayati tazkirah yang disampaikan dalam tiga bahasa (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab) secara bersilih ganti oleh kakitangan USIM sendiri iaitu Dr. Irwan Subri, Ketua Program Fakulti Syariah dan Undang-Undang; En. Mahazan Bin Abdul Mutalib, Tutor Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Dr. Salah Mohamed Zaki Mohamed Ibrahim, Pensyarah FKP.
Sebelum mengakhiri perhimpunan ini, warga USIM menyerlahkan lagi kesepaduan dan kecintaan kepada Baginda dengan mengalunkan bacaan selawat dan bacaan Qunut Nazilah yang dipimpin oleh Dr. Zainur Rijal Abd Razak, Timbalan Pengarah Pusat Pengajian Teras. Rata-rata warga USIM yang ditemui selepas perhimpunan ini berakhir melihat isu perpaduan dikalangan umat Islam kini yang goyah menjadi antara punca dunia Barat dan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab begitu berani ‘mengambil kesempatan’ untuk membuat pelbagai perbuatan bagi mencemarkan agama ini.