NILAI – Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan kerjasama strategik dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam melahirkan barisan pembimbing ibadat haji yang berwibawa melalui penganjuran kali kedua Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH).

Seramai 116 orang peserta yang terdiri daripada Pengkursus Ibadah Haji Tanah Air (PEKTA), guru agama syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH), pegawai TH, pegawai Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), kakitangan USIM dan individu perseorangan telah berjaya menamatkan program ini dengan jayanya pada 14 April 2025.

Peserta Terbaik EPIH 2025 kali ini ialah Muhammad Rifaiuddin Isa, 35, yang mendapat markah keseluruhan 91 peratus. Beliau merupakan Imam Masjid Al Bukhary Kuala Lumpur.

“Saya berbesar hati dapat mengikuti program ini kerana banyak input dan ilmu  bermanfaat yang sangat diperlukan bagi seorang pembimbing haji dan umrah”.

“Cabaran membahagikan masa untuk menjalankan tugas hakiki sebagai seorang imam dan peserta program memberi saya kepuasan dan kesyukuran apabila berjaya memperoleh sijil tauliah pada hari ini. Saya berterima kasih kepada abang saya yang merupakan seorang mutawwif yang memperkenalkan program ini kepada saya”, tambah Rifaiuddin.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani Naib Canselor USIM dalam ucapan aluannya menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua peserta yang telah bergraduasi dengan jayanya.

“Melalui subjek-subjek seperti Tafaqquh Fid Din, Kompetensi Pengurusan Haji dan Umrah serta Eksekutif Pengurusan Haji dan Umrah, para peserta telah dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran, dan kecekapan yang diperlukan untuk menjadi pembimbing haji dan umrah yang cemerlang”, ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Haji TH, Haji Mohd Hisham Harun berkata program EPIH 2025 yang dilaksanakan menerusi latihan dan pendidikan ini menekankan kepada kefahaman mendalam, pengukuhan ilmu serta pembentukan kompetensi kepimpinan ibadah haji.

“EPIH menyokong misi untuk melahirkan jemaah haji yang soleh dan musleh, bukan hanya menyempurnakan rukun Islam kelima dengan sempurna, tetapi juga menjadi agen perubahan yang membawa kebaikan dalam masyarakat dan negara,” jelas beliau.

“Pembelajaran teori dan latihan yang dirangka adalah cukup menyeluruh bagi mencapai matlamat program ini untuk melahirkan pembimbing ibadat haji yang berpengetahuan tinggi dan dapat menjelaskan kepada jemaah hukum-hakam ibadat haji berdasarkan isu semasa, di samping membentuk pembimbing yang mampu menyampaikan bimbingan secara berkesan kepada masyarakat,” tambah beliau lagi.

Program EPIH yang telah dilaksanakan secara hibrid merangkumi pembelajaran dalam talian dari 13 Januari 2025 hingga 17 Februari 2025 dan sesi intensif secara bersemuka dari 22 hingga 24 April 2025, merangkumi 18 subjek berteraskan tiga komponen utama iaitu Tafaqquh Fi Din, Kompetensi Pengurusan Haji dan Umrah serta Eksekutif Pengurusan Haji dan Umrah.

Barisan tenaga pengajar EPIH terdiri daripada pensyarah USIM, pegawai kanan TH, Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH-JAKIM, serta PEKTA Kanan yang berpengalaman luas dalam operasi haji dan pengajian hukum-hakam.

“TH telah menerima pengiktirafan antarabangsa melalui Anugerah Labaittom daripada Kerajaan Arab Saudi untuk tiga tahun berturut-turut bagi kategori Pembimbing Haji Terbaik Dunia Islam dan kategori Perkhidmatan Pelanggan Terbaik. Kejayaan ini jelas mencerminkan tahap komitmen tinggi dan kualiti latihan yang diberikan kepada para pembimbing ibadat haji negara,” kata Mohd Hisham.

“Program EPIH juga menjadi batu asas kepada usaha menaik taraf program ke peringkat Diploma atau lebih tinggi dengan pengiktirafan daripada Malaysian Qualification Agency (MQA), sebagai satu pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan haji negara,” jelas beliau lagi.

Sijil tamat program EPIH 2025 telah disampaikan oleh Ketua Jabatan Haji Lembaga Tabung Haji Tuan Haji Mohd Hisham Harun bersama Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam satu majlis graduasi bertempat di Dewan Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM.TAMAT