Nama pempengaruh seperti Jimmy Donaldson yang juga dikenali sebagai MrBeast mungkin tidak dikenali di Malaysia. Namun, dia adalah pempengaruh dengan jumlah pendapatan tertinggi di dunia dengan jumlah pengikut lebih 128 juta di YouTube. Majalah Forbes melaporkan pendapatan MrBeast melebihi 54 juta Dolar setahun. Rangkaian perniagaannya juga merangkumi saluran YouTube, restauran dan pelbagai rangkaian perniagaan yang lain.
Siapa yang tidak teruja dengan jumlah pendapatan sebegini bukan? Di Malaysia, lima pempengaruh dengan pendapatan tertinggi termasuklah Hanis Zalikha (jumlah pengikut 6.1 juta di Instagram) dengan pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Pempengaruh lain dengan pendapatan tertinggi di Malaysia ialah Khairul Aming Kamarulzaman (Khairulaming), Janna Nick, Elfira Loy dan Syahmi Sazli (pengarah dan penerbit filem yang dikenali dengan konten video dan filem komedi).
Khairul Aming misalnya yang merupakan pemenang Content Creator of The Year dalam TikTok Award 2023 dalam ucapannya menegaskan bahawa untuk menjadi seorang pencipta kandungan yang berjaya perlu meneruskan pembelajaran dan bukanlah menjadi pencipta kandungan yang viral sahaja. Hal ini demikian kerana, penghasilan konten yang baik dan diterima ramai bukanlah mudah dan untuk bertahan lama dalam bidang ini memerlukan pengetahuan dan pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, adab dan common sense.
Namun, dalam keghairahan meneroka fenomena baharu ini, kita pasti melihat kesan baik dan buruknya. Dalam kalangan pelajar misalnya, tidak keterlaluan jika dikatakan ada pelajar yang terganggu fokus akademik mereka kerana penggunaan masa yang berlebihan kerana terlalu banyak menonton konten daripada pempengaruh yang mereka minat. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan boleh mengurangkan masa yang dihabiskan untuk belajar dan mengerjakan tugasan sekolah atau universiti.
Selain itu, masa yang terbazir menonton konten yang tidak berpendidikan dan tidak bernilai tinggi juga membuang masa pelajar. Banyak influencer menghasilkan konten yang lebih berfokus pada hiburan daripada pendidikan kerana itulah konten yang lebih mudah mendapat sambutan. Ini boleh menyebabkan remaja kurang terdedah kepada bahan-bahan yang berfaedah untuk pembelajaran mereka.
Di samping itu, yang lebih menakutkan ialah penyebaran nilai dan kelakuan negatif. Tidak dinafikan bukan semua pempengaruh berkongsi konten negatif, tetapi ada. Misalnya, pempengaruh mempromosikan produk dan gaya hidup mewah yang boleh menanam nilai konsumerisme dalam kalangan remaja. Ini boleh mengalihkan perhatian mereka daripada tujuan pendidikan dan keperluan akademik yang lebih bermanfaat kepada kehidupan mereka. Lebih menakutkan, kelakuan tidak bermoral seperti pempegaruh yang menunjukkan gaya hidup tidak sihat seperti penggunaan dadah, alkohol (mungkin tiada daripada pempengaruh dalam Malaysia) dan gaya pemakanan tidak sihat boleh mempengaruhi remaja untuk meniru kelakuan tersebut.
Namun jika platform media sosial dengan pengaruh pempengaruh digunakan untuk tujuan akademik, ia boleh menjadi platform pembelajaran alternatif yang baik. Menerusi konsep pendidikan tidak formal, ada pempengaruh yang menghasilkan konten yang berinformasi dan mendidik dalam pelbagai bidang seperti sains, sejarah, seni, dan kemahiran hidup. Ini boleh menjadi sumber pembelajaran tambahan yang menarik bagi remaja.
Selain itu, ada konten pempengaruh yang memberi inspirasi kepada remaja untuk mengejar minat mereka, seperti dalam bidang seni, muzik, atau teknologi, yang mungkin tidak banyak diajarkan di sekolah. Ini adalah satu peluang untuk pembangunan diri daripada kisah benar yang peluang seperti ini kurang kita perolehi dalam abad yang terdahulu.
Di samping itu, amat menarik jika dilihat berlakunya peningkatan kesedaran sosial berkaitan isu-isu global kesan daripada pempengaruh menggunakan platform mereka membincangkan isu-isu yang sebelum ini kurang ditekankan, tetapi penting. Misalnya, isu seperti perubahan iklim dan hak asasi manusia boleh menarik minat lebih ramai remaja untuk mengambil tahu tentangnya kerana pengaruh pempengaruh yang mereka minati membincangkan hal ini.
Dalam hal ini, jika kita ingin menilai baik buruk kesan pempengaruh kepada pelajar atau remaja secara umumnya, ia selalu berbalik kepada kebijakan penggunaan sesuatu teknologi dalam usaha mengimbangi masa mereka antara hiburan dan Pendidikan. Bimbingan daripada ibu bapa dan guru juga amat penting bagi golongan pelajar sekolah rendah agar kesan positifnya lebih banyak diperolehi berbanding kesan negatif. Rugilah kita jika disogok dengan pelbagai kemudahan teknologi namun hanya menuai yang negatif-negatif sahaja.