Ajaibnya istighfar

Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad
Dr. Nurul Asiah Fasehah MuhamadFakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Saya mulakan dengan sebuah cerita yang berlaku pada zaman Imam Ahmad Bin Hanbal, yang merupakan anak murid kepada Imam Syafie. Diceritakan perihal imam Ahmad bin hanbal ketika di akhir usianya, beliau berasa ingin sangat untuk pergi ke sebuah kota di Iraq. Beliau pun memulakan perjalanan, ketika sampai di kota tersebut, beliau ingin berehat sebentar di sebuah masjid. Sedang beliau ingin berbaring, beliau ditegur oleh penjaga masjid dan melarang perbuatannya itu, lalu beliau diminta keluar daripada masjid. Imam Ahmad amat terkenal dengan ketinggian ilmunya dan kezuhudannya namun, beliau tidak memperkenalkan dirinya dan hanya mengatakan beliau adalah musafir. Beliau hanya akur dan keluar daripada masjid.

Oleh kerana terlalu letih, beliau tetap juga ingin berbaring berehat di luar masjid, namun tetap dilarang oleh si Penjaga masjid tadi. Dari kejauhan, ada seorang penjual roti yang sedang memerhatikan kejadian itu, lalu memanggil beliau ketika beliau melalui tempat dia berniaga. Di sapanya imam Ahmad dan menjemputnya untuk beristirehat di tempatnya. Imam Ahmad masih memperkenalkan dirinya sebagai Musafir. Sepanjang berada di tempat rehat yang disediakan iaitu berdekatan dengan si penjual roti, beliau mendengar penjual roti ini sering beristighfar. Pada setiap tindakannya ketika membuat roti itu, dia melafazkan istighfar.

Imam Ahmad bertanya kepada si penjual roti: “sejak bila anda melakukan itu (beristighfar)? Semenjak aku bermula menjual roti iaitu sejak 30 tahun yang lalu. Imam Ahmad bertanya lagi:”apakah kesan daripada perbuatanmu ini? Maka lelaki tadi menjawab: “semua permintaanku dimakbulkan Allah kecuali satu iaitu aku memohon kepada Allah untuk mempertemukanku dengan Imam Ahmad. Mendengar jawapannya itu, Imam Ahmad bertakbir lalu berkata: Aku didatangkan daripada Baghdad kerana istighfarmu. Lelaki tadi bertahmid memuji Allah kerana permintaannya telah dimakbulkan.

Rakan pembaca yang dihormati, kisah ini menunjukkan betapa hebatnya kuasa “istighfar” dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah. Apatah lagi dalam keadaan kita sedang berusaha membina watak terbaik dalam diri permata hati kita sendiri iaitu anak-anak kita. Sebagai hambanya, kita tidak ada daya upaya melainkan dengan bantuan dan pertolongan Allah. Pengharapan kita hanya kepada Yang Maha Berkuasa kerana kita tiada upaya. Jadi salah satu daripada caranya adalah dengan melazimi “istighfar”.

Perkataan keramat ini menandakan pengistiharan kita sebagai hamba Allah yang banyak melakukan dosa dan ingin sentiasa diampunkan Allah. Logiknya disini, jika kita ada pekerja yang sentiasa mengakui kesilapannya dan berusaha memperbaikinya pasti kita akan cuba membantunya oleh kerana kesungguhannya. Apatah lagi Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya. Ia harus berlaku dalam dua hala iaitu kita sebagai hamba dengan Allah, dan kita sebagai ibu bapa dengan anak-anak kita. Sebagai hamba Allah kita lazimi istighfar dengan sedar bahawa kita sememangnya banyak melakukan dosa, dan kita sebagai ibu bapa juga harus sering meminta maaf dengan sedar bahawa kita juga banyak melakukan kesilapan.

Dengan istighfar insyaAllah, segala keperluan kita akan dicukupkan Allah. Segala hajat kita dalam membesarkan dan mendidik anak-anak kita akan dimakbulkan Allah. Apalagi yang kita harapkan selain daripada petunjuk dan ehsan daripada Allah dalam setiap tindakan kita dalam mendidik anak-anak. Ia hakikatnya sudah lebih daripada cukup. Manakala tindakan kita merendahkan ego untuk meminta maaf daripada anak-anak menunjukkan bahawa kita tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

Pengiktirafan ini hakikatnya menjadikan kita contoh yang terbaik untuk diikuti. Anak-anak juga akan mudah meminta maaf dengan kita dan sesama mereka. Saya akui, sesetangah daripada kita menghadapi kesukaran untuk menyatakan maaf malah ada yang sukar untuk menerima maaf. Hakikatnya ia hasil daripada sifat “ego” yang wujud dalam diri kita. Jadi dengan beristighfar, akan merendahkan rasa ego tersebut dan memudahkan kita untuk bermaafan dalam erti kata yang sebenar.

Rakan ibu bapa yang dihormati, persekitaran keluarga berada ditangan kita. Bagaimana corak yang ingin kita lukis, bagaimana watak anak yang ingin kita hasilkan semuanya terletak ditangan kita dan dengan izin Allah. Pilihannya tetap ditangan kita. Justeru, jika kita ingin lahirkan generasi yang mudah bertoleransi dan mudah memberi dan menyatakan kemaafan, ia juga harus bermula daripada kita. Jika kita ingin dibantu dengan petunjuk dan bimbingan Allah dalam setiap gerak geri kita terutama dalam usaha membina watak terbaik bagi anak-anak kita, maka lazimilah istighfar. Apapun, kita adalah hambaNya, maka iktiraflah kedudukan

2018-09-24T17:36:48+00:00