Ambil tindakan tegas terhadap aktiviti pembakaran terbuka

Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowFakulti Syariah & Undang-Undang

Semua pihak berkuasa yang berkaitan khususnya pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu giat melakukan proses pemantauan terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang dijalankan didalam negara kita. Ini adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian yang buruk akibat daripada aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan khususnya di musim panas dan kemarau panjang yang sedang dialami oleh negara kita pada masa kini. Cuaca panas dan kemarau yang sedang dialami Malaysia ketika ini dikatakan akibat daripada perubahan monsun.

Secara umumnya, cuaca di Malaysia dicorakkan oleh dua rejim monsun utama iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir bulan Mei ke September, dan Monsun Timur Laut dari bulan November ke Mac. Monsun Timur Laut akan membawa kepada hujan lebat terutamanya kepada negeri – negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering. Tempoh peralihan di antara dua monsun ini dikenali sebagai musim perantaraan monsun. Memandangkan cuaca panas dan kemarau yang sedang dialami ini, adalah penting untuk semua pihak memberi kerjasama serta tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh memburukkan lagi keadaan cuaca dan alam sekeliling dalam negara kita dengan melakukan sebarang aktiviti yang memudaratkan dan ini termasuklah untuk tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka.

Pelbagai implikasi buruk yang boleh berlaku sekiranya orang ramai melakukan aktiviti pembakaran terbuka terutamanya ketika negara kita sedang melalui musim panas dan kemarau. Memandangkan keadaan sekeliling berada dalam keadaan kering, sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan pada masa kini akan mengundang risiko tinggi untuk berlakunya pembakaran secara besar – besaran. Sekiranya pembakaran secara besar – besaran berlaku sudah pasti ia boleh mengundang bahaya kepada nyawa serta harta benda orang ramai. Pembakaran besar – besaran yang berlaku juga boleh menyebabkan kemunculan asap atau jerebu yang tebal yang boleh membahayakan kesihatan orang ramai khususnya kepada orang – orang tua, orang yang sakit, serta golongan kanak – kanak yang masih kecil.

Sebarang aktiviti pembakaran terbuka seperti aktiviti membakar sampah sarap dan membuat unggun api perlu dielakkan bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk daripada berlaku. Berikutan cuaca cuaca kering yang sedang dihadapi di beberapa bahagian negara ini juga adalah dinasihatkan supaya perokok – perokok tidak membuang puntung rokok di merata – rata tempat yang boleh mengakibatkan sesuatu kebakaran berlaku. Golongan petani atau peladang yang masih mengamalkan aktiviti pertanian tradisional juga perlu mengelakkan melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka ke atas sisa – sisa pertanian seperti jerami, padi, rumput kering dan seumpamanya.

Tindakan tegas mengikut peruntukkan undang – undang dalam negara kita perlu diambil terhadap mana – mana pihak yang didapati melakukan aktiviti pembakaran terbuka dalam negara kita seperti yang telah ditetapkan dibawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 [Akta 127]. Seksyen 29A (1) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 [Akta 127] memperuntukkan bahawa “Walau apa pun apa – apa yang berlawanan yang terkandung dalam Akta ini, tiada seorang pun boleh membenarkan atau menyebabkan pembakaran terbuka di mana – mana premis”. Seksyen 29A (2) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 [Akta 127] memperuntukkan bahawa “Mana – mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua – duanya”. Mereka yang didapati bersalah juga boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2000.

Perlu juga diketahui Seksyen 29B Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 [Akta 127] memperuntukkan bahawa “Jika pembakaran terbuka berlaku di mana – mana premis, a) pemunya atau b) penduduk premis itu yang mempunyai kawalan atas premis itu adalah disifatkan telah melanggar subseksyen 29A (1) melainkan jika dibuktikan sebaliknya”. Oleh itu, semua pihak perlu memandang serius terhadap perkara ini serta mengambil langkah supaya kebakaran secara terbuka tidak berlaku di kawasan milik mereka. Pihak berkuasa yang berkaitan seperti pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah sentiasa aktif melakukan proses pemantauan serta giat menjalankan operasi – operasi pencegahan aktiviti pembakaran terbuka diseluruh kawasan dalam negara kita bagi memastikan tiada pihak mengambil mudah dengan isu pembakaran terbuka ini di dalam negara kita.

Selain daripada itu, orang ramai perlu diberi pendedahan serta didikkan sepanjang masa mengenai isu pembakaran terbuka ini serta bahaya yang boleh berlaku. Kerjasama diantara agensi kerajaan yang lain seperti pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Bahagian Keselamatan Negara, Rela, Kementerian Kesihatan, Polis serta masyarakat sekeliling juga penting dalam membendung sebarang aktiviti pembakaran terbuka dalam negara kita.

2019-04-05T15:56:04+00:00