Dr Rosnia Masruki
Dr Rosnia Masruki Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Perintah Pegerakan Kawalan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, pada mulanya berkuatkuasa pada 18 Mac-31 Mac dan kemudiannya dilanjutkan tempoh selama 2 minggu lagi sehingga 14 April akibat wabak pendamik, COVID-19 di Malaysia. Malah turut juga dirasai oleh negara-negara lain di seluruh dunia. Rentetan dari itu, semua diarah bekerja di rumah dan kebanyakan sektor seperti pendidikan, pembinaan dan perlancongan yang bukan kritikan turut ditangguhkan. Namun begitu, PKP dikecualikan bagi 25 sektor kritikal yang diiktiraf oleh Kemeterian Kesihatan seperti kesihatan, farmasi, bekalan makanan, dan pertanian bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus, di samping sektor kesihatan yang berperanan untuk memastikan wabak ini dapat dikawal serta perkhidmatan rawatan kesihatan dapat diberikan dengan baik.

Dalam kontek sosial, PKP dilihat sebagai halangan untuk menyekat pergerakan umum untuk bercuti, pulang ke kampung dan membeli-belah. Namun begitu, jika dilihat dari sudut kewangan peribadi, ia dapat terkesan secara positif. Tiada lagi perbelanjaan untuk bercuti bermalam di hotel, makan di luar, minyak dan tol untuk ulang alik ke tempat kerja dan untuk pulang ke kampung dan seumpamanya. Kos perbelanjaan seumpama ini dapat dikurangkan apabila kita tidak keluar rumah. Di sini lah sebenarnya dilihat sebagai peluang untuk menambah tabungan keluarga dan dana kecemasan serta kos luar jangka seperti penyelenggaraan rumah dan kereta.

Namun begitu, kesan yang paling dirisaukan adalah bagi pekerja bergaji harian dan peniaga kecil-kecilan dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Peniaga nasi lemak, pemandu teksi, peniaga-peniaga di pasar malam, pasar tani, flea market, car-boot dan up town dan seumpamanya hilang punca pendapatan. Mereka hanya dapat bergantung kepada duit simpanan untuk kelangsungan hidup sepanjang tempoh PKP. Tetapi sampai bila simpanan tersebut mampu menampung perbelanjaan harian mereka untuk membeli keperluan asas dan perbelanjaan tetap seperti makanan, sewa rumah, bil elektrik, bil air, prabayar telefon bimbit dan sebagainya. Dikuatiri, mereka mungkin kehabisan duit simpanan dan tiada lagi tempat bergantung.

Kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memberi sokongan kepada golongan yang terkesan dalam menangani kemelut kewangan masyarakat. Sebagai contoh, rangsangan ekonomi yang diumumkan seperti moratorium melibatkan RM100 bilion bermula 1 April. Ia merupakan pelepasan bayaran balik pinjaman selama 6 bulan di bank dan institusi kewangan. Apabila ansuran pinjaman dapat ditangguhkan, lebihan kewangan sepatutnya dapat ditingkatkan. Mengikut amalan terbaik pengurusan kewangan peribadi, individu seharusnya memiliki simpanan sebanyak 3-6 bulan pendapatan bulanan. Ekoran dari itu, moratorium harus dilihat sebagai inisiatif untuk memulakan tabungan kepada yang tiada dan bagi yang telah ada, untuk menambah tabungan di kemudian hari. Sebaiknya, ia adalah untuk dijadikan duit saku dalam sesebuah institusi keluarga, bukan kesempatan untuk membeli-belah di atas talian, apatah lagi jika ia bukan keperluan asas, hanya kehendak semata-mata dek mendapat kemudahan holiday bayaran balik tersebut.

Berbalik kepada peniaga kecil-kecilan dalam PKS, memandangkan mereka mungkin hilang punca pendapatan aktif dari perniagaan, mereka beruntung jika ada pendapatan pasif contohnya, dari hasil rumah sewa, kedai atau teksi yang disewakan dan hasil dividen ASB atau tabung haji. Sebaliknya, pekerja bergaji harian dan peniaga kecil-kecilan lazimnya ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Apatah lagi jika mereka tinggal di bandar, sinonim dengan istilah yang sering dikenali sebagai miskin bandar. Justeru, Pusat Zakat negeri dilihat telah mula bergerak lebih agresif dalam menangani permasalahan ini. Kita dapat lihat hanyak hotline yang diwartakan oleh Pusat Zakat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak. Ia dilihat sebagai usaha yang harus dipuji, dan golongan yang memerlukan sewajarnya tampil ke hadapan untuk mendapatkan sumbangan tersebut bagi membantu mereka demi kelangsungan hidup.

Bukan itu sahaja, banyak lagi NGO dan pelbagai pihak yang turut turun padang untuk menyumbang melalui Tabung Infaq (sedekah). Sebagai contoh, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui institusi masing-masing menyalurkan bantuan kepada para pelajar yang terkandas dan masih berada di kampus dan rumah sewa supaya mereka tidak terputus bekalan makanan. Tidak hanya bergantung kepada peruntukan Kemeterian Pengajian Tinggi (KPT), insan-insan prihatin terpanggil untuk sama-sama menyalurkan bantuan yang sangat dituntut oleh agama. Bagi orang Islam, ia adalah sebagai salah satu amal jariah yang membuatkan pahala terus mengalir meskipun kita sudah tiada lagi di dunia ini. Oleh sebab itu, sejumlah sedekah juga sewajarnya diperuntukkan dalam merancang kewangan peribadi yang patuh Syariah.

PKP harus dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan simpanan dan amal jariah, walaupun pada zahirnya ia seperti menyekat punca pendapatan bagi sesetengah pihak, terutamanya PKS dan peniaga kecil-kecilan. Sejak PKP diumumkan pada peringkat awal lagi, telah semakin ramai peniaga runcit yang mula menyediakan perkhidmatan di atas talian menggunakan whatsapp dan media sosial seperti di facebook dan instagram. Kehebatan urusniaga atas talian semakin dirasai dengan pembeli boleh mendapatkan keperluan harian dan bahan mentah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran menggunakan whatsapp sahaja di samping perkhidmatan penghantaran yang disediakan. Di sini juga, peluang ‘runner’ seperti Grab and Foodpanda untuk bergerak lebih aktif. Urusniaga mereka dapat dipergiatkan lagi sepanjang tempoh PKP dengan menggunakan platform yang berbeza melalui manfaat teknologi maklumat terkini.

Lain pula keadaannya di luar bandar, mereka mempunyai kelebihan tersendiri dengan adanya sumber bahan-bahan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan hanya di sekitar rumah. Pada masa inilah, kita dapat merasakan nikmatnya berbudi kepada tanah. Hakikatnya, dalam teknologi yang serba canggih dinihari, pertanian juga dapat dilakukan walaupun perumahan strata seperti flat, pangsapuri mahupun kondominium dan rumah yang langsung tiada tanah. Berbekalkan teknologi tanaman hidroponik misalnya, tanaman sayur-sayuran hijau seperti bayam, kangkung dan cili boleh juga diusahakan. Malahan, peniaga agro-hidroponik turut menyediakan perkhidmatan secara atas talian dengan menawarkan pakej kit tanaman hidroponik dan khidmat perundingan bagi yang baru berjinak-jinak dengan tanaman kecil-kecilan. Kosnya juga adalah mampu milik dengan hasil yang sememangnya berbaloi untuk kegunaan harian. Hasil dapat dilihat dengan sepantas 30 hari sahaja bergantung kepada jenis tanaman. Kesannya, perbelanjaan keperluan harian tentunya dapat dijimatkan dan boleh disimpan, di samping menyokong Kempen Menanam Pokok yang pernah dilancarkan di negara ini.

PKP atau dengan singkatannya ‘duduk di rumah’ harus dilihat sebagai peluang untuk muhasabah (menilai) diri kita, bukan hanya merenungi apa yang berlaku dengan wabak Covid-19. Sewajarnya kita sedar, mula dan teruskan merancang kewangan peribadi kita yang seharusnya diberi perhatian lagi-lagi dalam tempoh sebegini, kerana kita tidak tahu kedudukan ekonomi yang kemungkinan tergugat bukan hanya di Malaysia, namun juga di seluruh dunia. Bak kata pepatah Melayu, ‘sediakan payung sebelum hujan’ dan ini turut juga dianjurkan oleh Islam untuk merancang dalam apa jua yang kita lakukan, apatah lagi dalam memenuhi keperluan keluarga sebagai tanggungjawab dan amanah kepada kita.

Justeru, membuat perancangan kewangan individu dan keluarga perlu dipandang serius ketika ini. Di samping memanfaatkan penawaran moratorium, ia perlu dilihat sebagai langkah penjimatan untuk membuat lebih simpanan. Kepada PKS dan peniaga kecil-kecilan, mereka perlu berdaya saing dan kreatif dengan memanfaatkan platform atas talian untuk meneruskan kelangsungan hidup dan tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata. Secara prinsipnya, segala bentuk yang ditawarkan oleh kerajaan dan pelbagai pihak dalam menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi seperti moratorium, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan tawaran percuma internet berkelajuan tinggi sepatutnya dilihat sebagai ruang dan peluang untuk dimanfaatkan sebaiknya. Namun begitu, kerajaan dan seluruh pihak berwajib seharusnya terus memberi sokongan kepada semua lapisan masyarakat supaya kesejahteraan hidup dapat sama-sama dinikmati di Malaysia, terutamanya ketika negara dilanda penularan wabak COVID-19.