Dr. Khairunneezam Mohd Noor
Dr. Khairunneezam Mohd NoorFakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Islam adalah agama fitrah, dan fitrah manusia selalu menginginkan keseimbangan. Dengan keseimbanganlah alam ini berjalan teratur. Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan(mu), dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?” (Al-Mulk, ayat 3). Sesungguhnya, keseimbangan yang disebut Allah SWT inilah yang menjadi ruh dan inti pati ajaran Islam.

Sebagai seorang bakal graduan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), setiap pelajar perlulah memiliki keseimbangan dalam hal ehwal pembelajaran mahu pun aktiviti lain di luar bilik kuliah. Tuntasnya, keseimbangan yang harus ada pada seseorang pelajar itu terbahagi kepada dua dimensi yang utama iaitu, keseimbangan dalaman dan keseimbangan luaran. Keseimbangan dalaman diperihalkan melalui kemampuan memenuhi hak peribadi secara adil dalam aspek fizikal (kesihatan tubuh badan), emosional (perasaan yang bersih), mental (fikiran yang jernih) dan spiritual (hubungan dengan Allah SWT yang terbaik). Manakala keseimbangan luaran pula adalah daripada kemampuan memenuhi hak-hak manusia lain yang berada di sekeliling pelajar tersebut.

Dalam al-Qur’an, Allah SWT menggambarkan bagaimana seharusnya seorang Muslim dan spesifiknya seorang pelajar dalam menyeimbangkan antara kehidupan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Jum’ah, ayat 9-10).

Melalui peringatan Allah SWT dalam ayat di atas, seseorang yang seimbang, terutamanya bagi seseorang pelajar, pasti akan bijak membahagikan fokus dan keperluan mereka untuk berjaya dalam kehidupan di dunia mahu pun di akhirat. Dan tidak dapat tidak, untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat, seseorang itu perlulah mempunyai tahap ilmu dan pengetahuan yang baik dan mampu menggembleng nilai-nilai holistik dari segi keperibadian dan akhlak seseorang itu.

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf dalam kalangan manusia. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an, bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah dalam kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana.” (Surah al-Zumar, ayat 9).

Bersandarkan peringatan Allah SWT ini, USIM telah menggembleng dan membangunkan kurikulum dan kokurikulum yang terbaik berpandukan asas-asas ilmu Naqli dan Aqli yang kukuh dalam mengetengahkan potensi diri pelajar yang sebenar. Keutuhan nilai kerohanian menjadikan pelajar mudah dibentuk dan dikelola dengan suntikan program-program yang digagaskan di peringkat kementerian mahupun universiti sendiri. USIM berusaha melahirkan pelajar yang memilik sifat keseimbangan, holistik, mempunyai kemahiran insaniah tersendiri, serta mempunyai ilmu dan jati diri keusahawanan unggul yang berpaksikan kepada integrasi ilmu Naqli dan Aqli.

Berteraskan nilai keseimbangan dalam kehidupan sebagai pelajar di universiti, peluang yang luas diberikan oleh USIM kepada pelajar-pelajarnya untuk menonjolkan diri dalam bidang akademik, keusahawanan, inovasi, kebudayaan, kepimpinan, pengurusan, sukan dan lain-lain lagi. Peluang-peluang ini bertujuan membentuk graduan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Graduan berkenaan memiliki disiplin ilmu yang relevan, akhlak dan penetapan minda yang sesuai, tingkah laku dan beradab untuk memajukan diri bagi membolehkan mereka memberikan sumbangan kepada keharmonian dan kemajuan keluarga, masyarakat, negara dan komuniti global.

Kualiti ini diserlahkan melalui enam atribut utama – etika dan kerohanian, kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan pengetahuan. Pembangunan atribut pelajar dan graduan dalam enam domain ini ialah lanjutan daripada pendidikan asas hingga pendidikan tinggi. Usaha yang berterusan dilakukan untuk memastikan potensi dan towering personality terserlah dalam diri pelajar bukan sekadar cemerlang semasa di universiti tetapi turut hebat ketika berada dalam kalangan masyarakat luar.

Persepsi masyarakat luar yang baik dan kebolehterimaan pemain industri terhadap pelajar USIM terhasil melalui usaha keras pelbagai pihak di dalam USIM baik Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Pusat Kebudayaan dan Pusat Sukan. Kesepaduan dalam menyediakan pelbagai inisiatif dan program telah mencipta ruang yang luas untuk pelajar berdikari, membina keupayaan diri, serta berkarya mengikut kekuatan diri masing-masing. Natijahnya, lahirlah generasi pelajar aliran agama yang bukan sekadar menjadi tokoh agama malah menjadi profesional yang seimbang untuk berjasa kepada bangsa dan negara serta menjadi penyelesai kepada masalah ummah.

Tidak dilupakan, sekalung tahniah diucapkan kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing–masing sempena minggu konvokesyen yang diadakan oleh kebanyakkan institusi- institusi pengajian tinggi dalam negara termasuk para pelajar USIM yang bakal bergraduasi pada 21 hingga 23 November 2017.