Prof. Madya Dr. Mohd Azman bin Hashim @ Ismail
Prof. Madya Dr. Mohd Azman bin Hashim @ IsmailDekan, Institut Sains Islam

Alam yang kita diami mampu menzahirkan perasaan hambaNya kepada kebesaran dan keEsaan Allah swt melalui wahyu yang diturunkan melalui al-Quran. Sebaiknya al Quran perlu ditadabburkan pada setiap masa bagi mewujudkan suasana merasai dan menjiwai kebesaran Tuhan. Seterusnya, dapat menimbulkan perasaan syukur kepada Allah swt dan pengajaran diambil untuk dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Malah, jika hambaNya memahami tabii alam secara sistematik atau sunnatullah, manusia boleh mengurus dan mentadbir alam ini dengan baik. Umum semua mengetahui, matahari tidak semestinya terbit dan terbenam di titik timur dan barat pada satu tempat sahaja. Sebagai contoh di Malaysia sepanjang 365 hari dalam setahun, matahari  terbit di dalam lingkungan 23.4 darjah ke kiri dari titik Timur, ataupun 23.4 darjah ke kanannya. Oleh kerana itu, pergerakan matahari sentiasa berubah melalui perpektif pemerhati. Allah swt menjelaskan bukti lain tentang kekuasaan-Nya, melalui firmanNya “Dan matahari berjalan ditempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui” Ayat 38, Surah Yasin, iaitu peredaran matahari yang bergerak pada garis edarnya yang tertentu dengan tertib menurut ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Sedikit  tidak menyimpang dari garis laluan yang telah ditentukan itu.

Hasil daripada lintasan matahari bermula daripada terbit dan terbenam, pada suatu ketika ianya akan berada di “atas kepala” di lokasi tertentu yang menghasilkan fenomena tengah hari tanpa bayang. Pada ketika itu, bayang kepala serta badan akan melitupi tapak kaki seolah olah tiada bayang yang jatuh ke bumi. Sebagai rekod, fenomena tengah hari tanpa bayang pada 28 Mac 2022 tepat pada jam 1:19 petang bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala di Shah Alam pula pada jam 1:20 petang. Tahun ini, 2023 penduduk Malaysia sebahagiannya telah berpeluang menyaksikan fenomena itu sekali lagi di Putrajaya pada 28 Mac dan di Kuala Lumpur pada 29 Mac.

Rentetan daripada peristiwa hari tanpa bayang ini, ianya juga berlaku pada lokasi yang amat bermakna bagi umat islam itu di Kaabah. Pada 28 Mei 2023, jam 5.18 petang matahari akan berada 89.97 darjah tegak di atas Kaabah yang juga disebut Istiwa’ A’dzam. Jika anda terlepas, tarikh lain ialah pada 16 Julai 2023, jam 5.27 petang (89.95 darjah). Jika tahun tersebut berlaku tahun lompat, ia jatuh pada tarikh 29 Mei dan 17 Julai.  Kesan daripada fenomena ini, di Malaysia terutamanya boleh mengambil manfaat untuk menentukan arah kiblat melalui bayang bayang yang dihasilkan oleh objek tertentu. Bagaimanakah kaedahnya?

Cara yang paling mudah untuk mencari arah kiblat pada waktu tersebut ialah:

  1. Pacakkan kayu atau tepi dinding bangunan yang tegak tepat 90 darjah. Menara masjid juga adalah sesuai kerana pada masa yang sama boleh menyemak arah kiblat di Masjid.
  2. Pada jam 5.18 petang, 28 Mei 2023 (Ahad), atau jam 5.27 petang, 16 Julai 2023 perhatikan bayang-bayang yang terhasil oleh objek tadi. Pada ketika ini, matahari berada tegak di atas Kaabah.
  3. Lukiskan garisan selari dengan bayang-bayang tadi. Arah Kiblat kita akan berada menuju ke arah matahari di langit barat.
  4. Anda digalakkan menanda dengan kayu kedua sebagai penghubung hujung bayang bagi mendapatkan dua titik supaya arah dapat direkod.

Kaedah Istiwa’ A’dzam dianggap antara cara alamiah paling berkesan untuk penentuan arah kiblat dan sering digunakan umat Islam sejak lebih 1,400 tahun lalu sebelum kompas dicipta. Walapun begitu dengan perkembangan teknologi, umat islam mempunyai pilihan menggunakan beberapa aplikasi penentu arah kiblat di telefon bimbit dan perkhidmatan yang disediakan oleh pegawai-pegawai Jabatan Mufti negeri masing masing.