Muhammad Faris Syahmi Mohd Zaid
Muhammad Faris Syahmi Mohd ZaidPelajar, Fakulti Syariah dan Undang-undang

Masalah buli dalam kalangan pelajar di negara kita adalah isu serius yang mesti ditangani dengan segera. Buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti fizikal, emosi, atau siber. Jenayah buli ini telah memberikan kesan yang buruk kepada masyarakat kita terutamanya bagi mangsa buli itu sendiri. Semua pihak seharusnya mengambil peranan tanggungjawab dalam mengatasi masalah ini supaya masalah ini tidak lagi berlaku. Bagi mengatasi masalah buli di sekolah, kita mestilah mengenalpasti terlebih dahulu dan meneliti pelbagai aspek yang penting seperti punca berlaku masalah buli dan kesan yang akan berlaku supaya kita dapat melaksanakan tindakan yang berkesan. Bagi membendung budaya tidak sihat ini, pelbagai cara dan tindakan perlu dilakukan dengan cara yang berkesan . Akan tetapi, penting untuk kita perlulah mengkaji secara terperinci punca, kesan dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Secara dasarnya, kita mestilah mengetahui bagaimana masalah buli ini boleh berlaku dalam kalangan pelajar . Salah satu punca utama buli ialah ketidakupayaan untuk memahami dan menghargai perbezaan di kalangan pelajar. Secara ringkasnya, ia berlaku apabila terdapat segelintir pelajar yang merasakan diri mereka lebih kuat dan berkuasa berbanding rakannya yang lain. Apabila wujud nya sikap buruk pelajar seperti itu, mereka terdorong untuk mengusik dan mengejek rakan sekelasnya yang mereka anggap lemah . Kebiasaanya mereka bergerak secara berkumpulan untuk membuli mangsa yang hanya bersendirian .

Akibatnya, buli tidak hanya meninggalkan kesan trauma pada mangsa, tetapi juga memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik dan perkembangan sosial mereka.Selain itu, salah satu bentuk buli yang semakin meluas ialah buli siber, di mana pelajar menggunakan sosial untuk menyebarkan fitnah atau menghina rakan sekelas. Fenomena ini mencipta persekitaran yang tidak sihat di kalangan pelajar dan boleh membawa kepada masalah kesihatan mental seperti kecemasan dan kemurungan. Secara ringkasnya, kita dapat simpulkan bahawa punca-punca yang membawa kepada gejala ataupun isu buli tersebut datang daripada pelbagai pihak. Kita dapat menganalisa maklumat tentang punca ini untuk mencegahnya dari awal supaya tidak lagi berlarutan pada masa yang akan datang.

Seterusnya , kita mestilah mengenalpasti kesan yang akan berlaku jika isu buli ini dipandang remeh dan tidak dicegah . Pelbagai akibat yang akan berlaku daripada perbuatan buli ini, ianya akan memberikan kesan buruk kepada mangsa buli yang mungkin mengakibatkan nyawa mangsa dalam keadaan bahaya sama ada dari segi fizikal atau mental.

Selain daripada kesan dari segi fizikal seperti luka dan kecacatan pada anggota badan, kesan dari segi emosi juga membawa akibat yang buruk kepada mangsa. Antara kesan-kesan gejala buli tersebut ialah pelajar-pelajar yang dibuli akan berasa takut datang ke sekolah. Ini kerana mereka bimbang jika mereka akan bertemu dengan individu yang membuli mereka di sekolah. Ia akan menyebabkan mangsa lebih kerap mengurung diri mereka di dalam bilik. Selain itu, mangsa buli tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran mereka yang akan menjejaskan prestasi akademik mereka.

Apabila mangsa buli siber mengalami kesan emosinya untuk jangka masa yang panjang, penyakit mental seperti gangguan kemurungan serta gangguan kecemasan boleh memburukkan dan menjejaskan mereka. Dalam kemungkinan keadaan yang lebih teruk, gejala buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli bertindak untuk membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka tanggung. Kesan- kesan tersebut amatlah membimbang kita kerana isu ini menunjukkan bahawa sistem keluarga dalam masyarakat mahupun negara kita masih kurang peka dalam mendidik akhlak dan memantau kelakuan anak mereka.

Walau bagaimanapun , gejala buli dalam kalangan pelajar ini dapat diatasi dengan pelbagai langkah dan peranan pelbagai pihak agar ianya dapat berkesan dan dihentikan daripada terus berlaku . Pendidik dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam menangani masalah buli. Pihak sekolah juga perlu melibatkan program kesedaran yang mengajar nilai- nilai murni dan menggalakkan pemahaman antara pelajar.

Selain itu, kita hendaklah mewujudkan saluran komunikasi terbuka di mana pelajar boleh melaporkan insiden buli tanpa takut mendapat pembalasan. Ibu bapa juga perlu terlibat secara aktif dalam pemantauan aktiviti anak-anak mereka di dunia maya. Mereka perlu memberikan tunjuk ajar tentang cara menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan mengenali tanda-tanda buli. Program pembelajaran sosial dan emosi boleh membantu membina kemahiran komunikasi dan pemahaman emosi yang dapat mengurangkan insiden buli. Akhir sekali , pihak berkuasa mestilah mewujudkan sistem disiplin yang adil dan konsisten dengan menetapkan undang- undang sekolah yang jelas mengenai buli dan mengenakan hukuman yang sesuai kepada pelaku.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlulah mengambil peranan dan tanggungjawab dalam membanteras dan mencegah isu dan gejala buli dalam kalangan pelajar ini supaya para pelajar menuntut ilmu di sekolah dalam keadaan selamat dan harmoni. Justeru segala usaha bersama dari semua pihak, kita boleh mencipta persekitaran sekolah yang selamat dan menyokong pertumbuhan positif pelajar. Pendidikan yang melibatkan nilai-nilai kasih sayang dan hormat perlu menjadi fokus untuk membentuk generasi muda yang berdaya tahan terhadap masalah buli. Pelbagai langkah berkesan tersebut dapat membantu kita dalam mendidik sifat dan akhlak terpuji kepada remaja dengan memberikan nasihat tentang kesedaran tentang buruknya gejala buli ini dalam kalangan pelajar. Oleh itu, harapan kita dalam mewujudkan generasi dan ihsan yang berguna pada masyarakat lebih-lebih lagi bangsa dapat dilahirkan kerana mereka merupakan harapan dan bakal memimpin masa depan negara kita menuju ke arah negara yang
maju dan bertamadun.