Profesor Madya Dr. Zulkifli Hasan
Profesor Madya Dr. Zulkifli HasanFakulti Syariah dan Undang-undang

Hak asasi manusia sering kali tertumpu kepada aspek politik dan sivil sedangkan ia adalah lebih luas daripada itu. Mungkin ramai juga yang tidak mengetahui bahawa Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan juga adalah sebahagian daripada hak asasi manusia yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan instrumen antarabangsa seperti Universal Declaration of Human Rights (UDHR), International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR), Sustainable Development Goals (SDG), Cairo Declaration of Human Rights in Islam (CDHRI) dan ASEAN Declaration of Human Rights (ADHR). Ini membuktikan bahawa Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan merupakan antara hak asasi manusia yang perlu diberikan perhatian dan dilindungi dalam kehidupan masyarakat.

Perlembagaan Persekutuan secara jelas telah memperuntukkan beberapa fasal dan perkara yang menjamin hak asasi manusia. Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 mentakrifkan “hak asasi manusia” sebagai merujuk kepada “kebebasan asas sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan”. Peruntukan ini dengan jelas mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan sebagai asas kepada kerangka hak asasi manusia yang diamalkan di Malaysia dan ini merangkumi (i) Hak Ekonomi (hak perniagaan, hak kemudahan asas, hak keperluan asas dan hak bekerja (ii) Hak Sosial (alam sekitar, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan rekreasi) dan (iii) Hak Kebudayaan (bahasa, warisan, harta intelek dan pendidikan kebudayaan). Sesuai dengan falsafah ‘cultural relativism’ yang mengiktiraf keunikan sosio-budaya dan agama masyarakat setempat, hak ekonomi di dalam Perlembagaan Persekutuan sudah pastinya adalah tidak bersifat mutlak.

Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan ini dinyatakan dengan jelas dalam beberapa instrumen antarabangsa. Perkara 22 UDHR misalnya memperuntukkan bahawa “Setiap orang, sebagai anggota masyarakat, adalah berhak kepada keselamatan sosial dan berhak menjadikan suatu kenyataan, melalui usaha negara dan kerjasama antara-bangsa dan menurut organisai dan sumber-sumber dalam negara masing-masing, hak-hak ekonomi, sosial dan kebudayaan yang termesti bagi kemuliaannya dan perkembangan bebas keperibadiannya.” Hak-hak berkaitan Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan yang dimaksudkan di sini termasuklah Hak untuk kehidupan berkeluarga; Hak memiliki harta dan tiada sesiapa pun boleh dilucutkan hartabendanya sewenang-wenangnya; Hak untuk mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya; Hak kepada keselamatan sosial; Hak untuk keadaan-keadaan pekerjaan yang adil dan berfaedah; Hak untuk suatu taraf hidup yang memadai bagi kesihatan dan kebajikan diri dan keluarganya, makanan, pakaian, perumahan dan pengawasan perubatan; Hak untuk pelajaran; dan Hak untuk secara bebas mengambil bahagian dalam kegiatan kebudayaan masyarakatnya, menikmati kesenian dan sama-sama merasai kemajuan sains dan faedah-faedahnya.

ICESCR juga menyatakan kepentingan menjamin dan melindungi Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan bagi setiap warga negara secara sama rata dan saksama. Berbanding UDHR yang lebih bersifat umum, ICESCR adalah kovenan antarabangsa yang sangat penting dengan meletakkan klausa-klausa khusus mengenai hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan. Walaupun Malaysia masih belum meratifikasi instrumen antarabangsa UDHR dan ICESCR ini, laporan Universal Periodic Review (UPR) terkini merekodkan bahawa keadaan Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan di Malaysia berada di tahap yang memuaskan. Malahan, kerajaan Malaysia telah bersetuju dan menerima sebahagian besar cadangan UPR berkaitan Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan. Ini menunjukkan perkembangan positif yang diputuskan oleh kerajaan untuk menerima dan melaksanakan dasar, polisi dan program yang boleh meningkatkan kadar pematuhan Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan rakyat.

Selain UDHR dan ICESCR, Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) yang diterima pakai dan diluluskan oleh anggota-anggota Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) di Persidangan Kesembilan Belas Menteri-Menteri Luar Negara-Negara Islam di Kaherah pada 5 Ogos 1990 juga mengiktiraf Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan. Secara umumnya, Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan yang dinyatakan di dalam CDHRI ini juga mengangkat prinsip-prinsip sejagat hak asasi manusia yang terkandung dalam UDHR dan ICESCR. CDHRI ini turut merangkumi pelbagai aspek keperluan sosial masyarakat dan mengiktiraf hak-hak asasi manusia berkaitan ekonomi, sosial dan kebudayaan bagi mencapai kesejahteraan kehidupan menurut perspektif Islam.

Sebagai anggota ASEAN, Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (ADHR) yang ditandatangani oleh pemimpin negara anggota ASEAN di Persidangan Kesembilan Belas Menteri-Menteri Luar Negara-Negara Islam di Phnom Pen, Kemboja pada 18 November 2012 juga memperakui Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan. Menarik untuk diteliti bahawa terdapat beberapa aspek hak ekonomi, sosial dan kebudayaan yang dinyatakan di dalam ADHR ini adalah lebih baik daripada apa yang terdapat dalam UDHR. ADHR memperuntuukan secara khusus klausa mengenai hak untuk air minuman yang selamat dan sanitasi, hak alam sekitar yang bersih dan lestari dan hak rawatan, penjagaan dan sokongan terhadap orang yang menghidap penyakit berjangkit. Perkara ini tidak disebutkan di dalam UDHR tetapi dinyatakan dengan jelas dalam ADHR, di mana ia adalah suatu hak yang sangat penting ke arah mempersiapkan masyarakat menuju suatu tahap kesejahteraan kehidupan yang selesa dan maksimum.

Memahami Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia adalah sesuatu sangat penting dan signifikan kepada semua. Hak asasi ini mengiktiraf dan memperakui setiap lapisan warganegara dan masyarakat untuk mendapat Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan secara sama rata dan adil tidak mengira bangsa, status, agama mahupun idealisme. Dalam konteks Malaysia, adalah amat penting untuk kita memahami kerangka hak asasi manusia ini dalam bentuk yang lebih sesuai dengan sosio-budaya dan kehidupan beragama Negara berbanding mengguna pakai falsafah universalism yang menidakkan aspek ini. Malaysia lebih cenderung untuk mengaplikasikan falsafah cultural relativism yang mengambil kira aspek sosio-budaya dan agama dalam mentafsirkan dan menentukan konsep hak asasi manusia yang diterima dan diamalkan. Berbeza dengan pendekatan universalism yang mengiktiraf hak asasi manusia sebagai hak yang bersifat mutlak, tafsiran hak asasi manusia yang paling ideal diseimbangkan dengan aspek agama dan sosio-budaya masyarakat Malaysia.