Profesor Madya Dr. Nursilah Ahmad
Profesor Madya Dr. Nursilah AhmadProfesor Madya, Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mensasarkan bahawa dunia akan beransur pulih pada penghujung tahun 2020. Tetapi untuk ekonomi kembali normal, jangkamasa yang lebih panjang diperlukan. Justeru, setiap negara mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengharungi impak COVID-19.  Mari kita lihat bagaimana beberapa negara di rantau Asia menghadapi krisis kesihatan ini sebagaimana yang dilaporkan media tempatan dan antarabangsa.

Menurut JakartaGlobe, Indonesia akan menyemak semula kadar 3 peratus defisit belanjawan yang ditetapkan sejak Krisis Kewangan 1997. Walaubagaimanapun, dengan Pakej Rangsangan Ekonomi sejumlah Rp 405.1 trilion, Presiden Jokowi berkata defisit akan berada pada tahap 5.07, bersamaan 1.8 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Indonesia bersedia menghadapi kemungkinan 0 peratus kadar pertumbuhan ekonomi. Tetapi projek perpindahan ibunegara Jakarta ke Kalimantan akan diteruskan. Perbelanjaan kerajaan untuk tahun ini terfokus kepada sektor kesihatan, jaringan rantaian keselamatan sosial, pengecualian cukai dan perkhidmatan penstrukturan semula hutang perniagaan.

Beralih ke Korea Selatan, proses pemulihan ekonomi dijangka berbentuk-U dan akan berlarutan selama dua tahun, lapor The Star. IMF dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) juga menjangkakan ekonomi global akan turut melalui fasa pemulihan berbentuk-U. Korea menjangka pertumbuhan negatif tahun ini dan bersedia untuk memberikan suntikan fiskal kedua sejumlah USD40 bilion kepada usahawan kecil dan mikro dan golongan yang bekerja sendiri. Secara umumnya. Korea berusaha untuk memastikan kadar pengangguran terkawal dan aktiviti perniagaan dan ekonomi tidak terjejas teruk. Menurut The Strait Times, langkah ini akan meningkatkan hutang kerajaan kepada 41.2 peratus dari KDNK.

Di Singapura, Belanjawan Resilien yang diumumkan baru-baru ini yang berjumlah hampir USD33.7 bilion menggunakan dana simpanan rizab negara. Ini adalah kali pertama dana rizab negara digunakan sejak Krisis Kewangan Global 2008. Menteri Kewangan Singapura menyatakan perbelanjaan tambahan ini akan meningkatkan defisit fiskal kepada 7.9 peratus daripada KDNK, berbanding hanya 2.1 peratus unjuran asal.   

Jepun pula dijangkakan akan mengumumkan Pakej Stimulus terbesar berjumlah USD550 bilion pada bila-bila masa sahaja. Pakej rangsangan ini adalah hampir 10 peratus daripada KDNK.  Ini juga akan memberi tekanan kepada bebanan hutang negara yang hampir dua kali ganda saiz ekonomi Jepun. Saiz ekonomi terkini Jepun adalah USD5 trilion.

Jiran terdekat Brunei pula menjangkakan belanjawan defisit untuk tahun ini berbanding belanjawan lebihan pada tahun 2018 dan 2019.  Dengan kadar hutang yang sangat rendah, iaitu hanya kira-kira 3 peratus daripada KDNK, Brunei yakin dapat mencatat pertumbuhan positif dan masih mampu melaksanakan beberapa projek pembangunan yang telah dirancang lebih awal walaupun terkesan dengan krisis COVID-19.

Sementara dunia mengharapkan bantuan China untuk melakukan suntikan kewangan yang besar, negara ini juga berhadapan masalah besar, terutama dari segi export kerana negara-negara lain mengutamakan barangan dan pasaran domestik. Justeru China tidak lagi dapat menjadi enjin pertumbuhan ekonomi dunia. Keadaan China tidak sama seperti 10 tahun dahulu, menurut penganalisa dari Bloomberg. Ini kerana China adalah antara negara yang mempunyai hutang paling tinggi di dunia.

Menurut South China Morning Post, berbeza dengan pendekatan Eropah dan Amerika Syarikat melalui pemberian tunai secara terus (helicopter money) kepada rakyat, China memilih untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada bank-bank dan pihak berkuasa tempatan dengan harapan akan ada kesan tricke down effect dimana yang kaya akan membantu golongan kurang berkemampuan.

Bagaimana dengan Malaysia? Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam wawancara bersama Sinar Ahad menyatakan Kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) untuk melihat isu ekonomi dan merancang pelan ekonomi jangka panjang pasca COVID-19 dan merangka RMK-12 untuk tempoh 2021-2025. Menurut beliau, perlu ada keseimbangan antara nyawa dan pekerjaan agar enjin ekonomi terus berjalan.

Berdasarkan contoh-contoh di atas, kebanyakkan negara mengamalkan belanjawan defisit yang melebihi unjuran asal tahun ini. Pakej rangsangan mungkin perlu diberi berulang kali sehingga ekonomi beransur pulih.

Langkah ini perlu agar ekonomi dapat terus bertahan dan rakyat mempunyai pekerjaan untuk menampung kehidupan harian. Setiap negara secara umumnya memberi tumpuan khusus kepada golongan yang bekerja sendiri, peniaga kecil, pembayar cukai dan golongan yang memerlukan bantuan secara langsung berbentuk tunai.

Kesimpulannya, langkah pemulihan yang diambil setiap negara hampir sama. Cari jalan untuk kekang kadar kehilangan pekerjaan penduduk dan beri bantuan secara langsung berbentuk tunai kepada golongan yang memerlukan. Menurut Datuk Seri Mustapa Mohamed, Kerajaan berusaha memastikan tiada golongan tercicir dan ‘…ada makanan di atas meja rakyat.’