Dr. Kamilin Jamilin
Dr. Kamilin Jamilin Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM

Antara cabaran utama para pelajar yang berminat untuk menerokai ilmu hadis ialah bahasa arab yang sangat penting untuk menguasai ilmu hadis baik dari sudut riwayah (periwayatan sanad) atau dirayah (kefahaman teks). Ini kerana hadis sendiri berasal dari bahasa arab, dan rujukan-rujukan medan ini juga dalam bahasa arab.

Saya beranggapan kebanyakan orang awam masih kurang menguasai bahasa al-Quran ini dengan baik. Maka saya syorkan mulailah dengan membaca penulisan dalam bahasa yang kita fahami disamping mengasah kemahiran bahasa arab kita kerana kebanyakan penulisan yang baik dan utama masih belum diterjemahkan.

Sebelum kita memulakan langkah mendalami ilmu hadis, kita perlu jelas apakah jenis cabang ilmu hadis ilmu hadis yang kita minati, adakah ianya berkaitan fiqh hadis? Atau sains hadis? Atau keduanya?

Realiti ramai penuntut ilmu hadis yang minat mereka lebih cenderung kepada salah satu cabang tersebut sahaja. Ramai yang hanya berminat kepada fiqh hadis yang lebih tertumpu pada makna-makna hadis, sedikit pula yang meminati sains hadis yang lebih fokus pada penilaian status hadis. Tidak dinafikan, kedua-duanya sangat penting.

Jika kita cenderung untuk menerokai bidang fiqh hadis, tidak dinafikan penguasaan bahasa arab perlu dipertingkatkan kerana ia melibatkan banyak perbincangan mengenai kefahaman hadis dan perincian bagi setiap lafaz hadis.

Jika bidang sains hadis yang lebih diminati, maka keperluan terhadap bahasa arab juga tinggi kerana ia melibatkan banyak perihal perawi dan rujukan, sedangkan hampir kesemua rujukan ini dalam bahasa arab.

Setelah mengetahui hala tuju kita, teguhkan cabang-cabang ilmu yang boleh diumpamakan sebagai tiang asas yang menguatkan binaan. Bermula dengan rujukan yang mudah, lalu mendapatkan bimbingan pembimbing baik yang mampu memandu kita menerokai ilmu hadis.

Ketahui siapa para guru yang ahli dalam bidang tersebut dan berkelapangan untuk bersama kita. Lazimi mereka dan masukilah ilmu yang kita kehendaki melalui pintu yang betul. Jangan jemu dan goyah dengan kesukaran yang dihadapi dalam proses menimba ilmu. Konsisten hingga kita mencapai objektif dan kepuasan yang dicari.

Sebarang ilmu sememangnya menuntut komitmen yang berterusan dan usaha keras yang sudah semestinya memakan masa yang lama.

Saya kira untuk menjadi pakar dalam bidang lain juga sebegitu, itupun hanya pakar dalam bahagian-bahagian kecil tertentu.

Tidak dinafikan komitmen serta urusan harian kita hari ini banyak menyibukkan kita dari sempat meluangkan masa untuk fokus, menelaah, serta menganalisis yang dapat meningkatkan kemahiran ilmu kita kerana sememangnya sukar untuk kita menguasai banyak disiplin ilmu di zaman yang seakan kurang keberkatan masa ini.

Saya pernah mendengar almarhum Dr. Wahbah al-Zuhayliy berkata suatu ketika dahulu -jika ingatan saya tidak silap-: “Pada hari ini kita hanya mampu menjadi mujtahid juz’iy sahaja…” iaitu pakar dalam sesetengah bidang sahaja.

Namun pada masa yang sama, tidak mustahil untuk kita mahir dalam bidang hadis jika kita memiliki MINAT, FOKUS, & USAHA. Saya melihat kunci paling utama ialah minat kerana dengan minat, usaha dan perkara lain akan datang dengan sendirinya. Tidak pelik ramai yang kurang berminat untuk mendalami disiplin hadis kerana barangkali berasa takut serta hilang harapan atau melibatkan hafalan dan kemahiran yang luas. Barangkali juga kerana tidak melihat ianya ada kaitan dengan isu-isu semasa.

Bagi saya dispilin hadis ialah satu SENI. Banyak unsur-unsur di dalamnya yang sangat berkait rapat dengan hal-hal semasa sama ada dari sudut teks atau ilmu sanad.

Cuma berapa ramai yang mempunyai pemikiran yang kritis untuk memahami semua itu?

Ramai yang menganggap belajar hadis itu semata-mata hafal hadis sahaja, atau hafal itu dan ini. Silap sama sekali! Seni hadis membina kehidupan, melakar panduan buat diri dan pelbagai aspek kehidupan manusia. Sukar untuk diungkapkan keindahan seni hadis ini pada ruang coretan ini.

Sukar? Saya rasa bidang perubatan pun sangat sukar. Saya banyak melihat pelajar-pelajar perubatan yang banyak menyendiri dan fokus belajar sepanjang masa demi menjadi seorang doktor sama ada rela atau tidak.

Saya juga melihat banyak pelajar-pelajar yang belajar pada malam-malam peperiksaan sahaja. Alangkah baiknya kalau hari-hari kita anggap sebagai hari peperiksaan yang kita berusaha meluangkan masa dan komitmen untuk ilmu. Jika seseorang penuntut itu menghadkan tahap keinginannya, bagaimana kemahiran ilmunya akan dapat berkembang? Seorang pelajar yang hanya inginkan keputusan yang biasa-biasa maka usahanya juga akan biasa-biasa.

Sudah tentu ilmu mana-mana bidang sekalipun tidak datang dengan kerehatan. Kita boleh lihat misalnya profesor-profesor sains yang menghabiskan sepanjang hayatnya di makmal untuk mengkaji dan meluaskan pengetahuan bidang mereka dan menerokai suatu yang baru sambil tersenyum menikmati kerja mereka.

Begitu juga dalam bidang hadis, saya kerap melihat ramai profesor-profesor hadis yang bergelumang dengan kajian, perpustakaan, buku sepanjang hayat mereka. Bagaimana mereka melakukan perkara tersebut??

Kesanggupan ini hanya wujud jika MINAT kita sangat tinggi, lalu kita akan menikmati proses pembelajaran tersebut walaupun sukar. Bila kita seronok, segala cabaran akan dilalui dengan senyuman kepuasan.

Saya juga pernah melaui tempoh atau peringkat tidak minat, kabur dengan bidang hadis beberapa tempoh yang agak lama. Saya faham situasi di mana ramai yang belum melihat masa depan hadis mereka. Namun apabila minat itu datang, saya pernah duduk menghadap komputer, buku, dan kertas selama 18 jam hari-hari untuk menyelesaikan kerja menyemak (tahqiq) dan menganalisis beberapa naskah manuskrip, hanya berhenti untuk solat dan makan sahaja, lalu tidur 4 jam sebelum mengulangi  rutin tersebut. Walaupun badan dan minda ini dirasakan tersangat lelah, namun perasaan ini tersangat puas!

(Artikel ini disiarkan di Utusan Malaysia , 11 Oktober 2018)