Peloporan Bidang Audit Syariah
Industri kewangan Islam di Malaysia telah berkembang pesat dan Malaysia sendiri telah dikenali sebagai salah satu daripada hub kewangan Islam di dunia. Menurut Index Negara Kewangan Islam (Islamic Finance Country Index @ IFCI) di dalam Global Islamic Finance Report 2022, Malaysia berada di kedudukan kedua dengan skor mata hanya dipisahkan dengan 2.28 dengan kedudukan pertama. Laporan index ini telah mengenal pasti peranan penting Malaysia selaku hub kewangan Islam dunia berdasarkan beberapa indikator. Ini termasuklah pengiktirafan terhadap kerangka tadbir urus dan undang-undang dengan pengenalan Islamic Financial Services Act (IFSA 2013) dan juga Shariah Governance Policy Document (SGPD 2019) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut State of the Islamic Economy Report 2022, Malaysia terus menjadi peneraju di dalam pembangunan ekosistem ekonomi Islam bagi sembilan (9) tahun berturut-turut sejak tahun 2013. Menerusi Global Islamic Economy Indicator (GIEI), kedudukan pertama Malaysia dengan skor 207.2 adalah dipacu oleh pembangunan sektor kewangan Islam, jauh meninggalkan Arab Saudi di kedudukan kedua dengan skor 97.8. Selain itu, daripada enam indikator ekonomi Islam, Malaysia mengungguli empat (4) daripadanya termasuklah dalam kewangan Islam, makanan halal, pelancongan mesra Muslim dan media dan rekreasi.
Manakala, menurut Islamic Finance Development Report 2022 oleh ICD-REFINITIV, Malaysia merupakan negara yang berkembang di dalam pasaran kewangan Islam di kalangan 136 buah negara. Dengan mengumpul skor mata sebanyak 113, Malaysia jauh meninggalkan Arab Saudi di tangga kedua dengan skor mata 74. Ini disumbangkan oleh kemajuan dalam prestasi kewangan, tadbir urus, kelestarian, pengetahuan dan kesedaran mengenai kewangan Islam
Tambahan pula, menurut Islamic Financial Services Industry Stability Report 2022 oleh Islamic Financial Services Board (IFSB), Malaysia merupakan negara ketiga yang memiliki aset kewangan Islam terbanyak di dunia dengan kira-kira 11.2% daripada jumlah keseluruhan aset kewangan Islam global. Selain itu, Malaysia juga merupakan pasaran terbesar sukuk dengan menerbitkan 43.9% daripada jumlah sukuk (bon) di dunia.
Selain itu, Malaysia juga telah terkehadapan di dalam industri kewangan Islam apabila telah memperkenalkan hala tuju industri kewangan Islam di dalam Financial Sector Blueprint 2022-2026 oleh Bank Negara Malaysia. Blueprint ini mengandungi strategi untuk tempoh lima tahun akan datang dalam memanfaatkan ekosistem kewangan Islam Malaysia yang maju merangkumi: (i) menfokuskan cadangan Malaysia sebagai pintu masuk antarabangsa untuk kewangan Islam; (ii) memperkukuh dasar kewangan Islam berasaskan nilai untuk impak yang lebih besar; dan (iii) mengarusperdanakan kewangan sosial Islam.
Walaupun terdapat potensi besar di dalam industri kewangan Islam di Malaysia, Malaysia masih kekurangan tenaga kerja yang berkelayakan dan cekap di dalam industri kewangan Islam. Ini terutamanya di dalam memenuhi keperluan operasi empat fungsi utama Shariah di dalam industri kewangan Islam seperti yang digariskan oleh Shariah Governance Framework (SGF 2010) iaitu: (i) Shariah Research; (ii) Shariah Review; (iii) Shariah Risk; dan (iv) Shariah Audit. Perkara ini amat penting kerana tanpa keempat-empat fungsi utama ini, sesebuah institusi kewangan Islam tidak akan mampu beroperasi mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh BNM dan juga berisiko di dalam menjamin status patuh Shariah.
Ini dibuktikan dalam Financial Sector Blueprint 2022-2026 yang dikeluarkan oleh BNM yang menyatakan bahawa terdapat perkembangan permintaan pekerjaan di sektor kewangan termasuk kewangan Islam terutamanya untuk peringkat pengurusan bawahan iaitu daripada 57.9% kepada 62.1% dan peringkat pertengahan iaitu dari 33.5% kepada 34.9%.
Selain itu, satu kajian yang dilakukan oleh Capital Market Regulators Forum mendedahkan bahawa 82% dari negara-negara yang memiliki industri kewangan Islam termasuk Malaysia mengalami masalah kekurangan tenaga kerja profesional dalam kewangan Islam terutamanya dalam bidang Shariah dan takaful. Kajian tersebut juga mendedahkan bahawa 60% eksekutif kewangan Islam semasa memerlukan latihan dan pembangunan kemahiran lanjutan. Kekurangan tenaga kerja profesional akan memberikan kesan yang ketara dalam perkembangan aset kewangan Islam secara keseluruhannya.
Menyedari akan keperluan tenaga kerja yang berkelayakan dan cekap di industri kewangan Islam ini, pihak kluster Accounting, Shariah Audit and Governance (ASAG) di Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah memohon dan Skim Geran Knowledge Transfer Programme (KTP) dan telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi melaksanakan aktiviti pemindahan pengetahuan berkaitan audit syariah kepada pihak Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) selama tempoh 2 tahun bermula pada tahun 2014.
Naiktaraf Program Audit Syariah – CPSA
Pada tahun 2019, pihak ASAG dengan kerjasama Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM) telah mengemaskini program audit Shariah ini dengan menaiktaraf menjadi satu program profesional yang diberi nama ‘Certified Professional Shariah Auditor (CPSA)’ yang terbuka kepada masyarakat umum terutamanya pemain industri kewangan Islam di Malaysia.
Program CPSA ini terdiri daripada 6 modul merangkumi 3 peringkat melibatkan modul Fundamentals of Shariah for Islamic Finance dan Fundamentals of Governance & Auditing di peringkat beginner, modul Accounting & Reporting for Islamic Financial Transactions dan Shariah Risk Management & Internal Control di peringkat intermediate dan modul Shariah Audit Planning & Programme dan Shariah Audit Fieldwork & Communication di peringkat advanced. Kesemua modul ini terhasil dengan melibatkan sejumlah lebih dari 25 proses moderasi validasi yang melibatkan pakar-pakar industri kewangan Islam.
Setelah 4 tahun pengenalan program CPSA, USIM telah berbesar hati menganugerahkan Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM) dengan Anugerah Khas Rakan Industri (Kategori Tempatan) USIM 2022 bersempena Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah diadakan pada 13-16 Disember 2022. Anugerah ini telah disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM.
Dalam satu majlis yang lain pula, IBFIM juga telah berbesar hati menganugerahkan USIM dengan IBFIM Outstanding Industry Collaboration Award (IOIC) 2023. Bersempena Majlis Penganugerahan Pensijilan IBFIM Ke-4 yang telah diadakan pada 25 Februari 2023, anugerah ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, di Dewan Tun Abdul Razak, Bank Rakyat Convention Centre, Kuala Lumpur.
IBFIM Outstanding Industry Collaboration Award (IOIC) telah mula dianugerahkan sejak 2018 kepada institusi tempatan dan antarabangsa untuk kerjasama cemerlang dengan IBFIM, dalam membangunkan bakat dan profesional mahir dalam kewangan Islam. Kedua-dua penganugerahan ini merupakan simbolik pengiktirafan kedua-dua pihak di antara satu sama lain terhadap kerjasama yang telah dijalinkan terutamanya di dalam penawaran program CPSA.
Impak Kerjasama USIM-IBFIM
Melalui kerjasama diantara pihak akademia (USIM) dan industri (IBFIM), seramai kira-kira 165 pemegang sijil CPSA telah berjaya dilahirkan. Jumlah ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan kira-kira 670 peserta meliputi 423 peserta daripada pelajar tahun akhir universiti awam Malaysia, 189 peserta daripada 18 institusi perbankan Islam dan bakinya daripada organiasi berkaitan seperti firma pengauditan dan juga peserta luar negara.
Selain itu, program CPSA telah berjaya menerima akreditasi penuh dari Finance Accreditation Agency (FAA), sebuah agensi akreditasi kewangan antarabangsa di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) serta memperolehi kelulusan dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk hakcipta serta tanda dagangan.
Tambahan pula, program CPSA juga telah diiktiraf oleh Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) di mana modul-modul CPSA diberikan pengecualian bagi pensijilan ASAS. Selain dari itu, program CPSA juga baru-baru ini diluluskan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera di bawah pelan Program Pembiayaan Pensijilan Profesional. Menerusi pelan ini, tajaan akan diberikan kepada calon-calon Bumiputera yang berkelayakan untuk menyertai program CPSA.
Kerjasama diantara USIM dan IBFIM telah memperlihatkan USIM telah memperolehi empat geran kebolehpasaran graduan (2019-2022) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1,038,550. Tambahan pula, pihak USIM juga telah menerima manfaat hasil daripada pengagihan perkongsian keuntungan yuran peperiksaan program CPSA yang telah dijalankan dengan jumlah terkumpul sebanyak RM356,054.06 sehingga tahun 2022. Ini melibatkan sejumlah RM178,127.26 bagi tahun 2020, RM91,668.00 bagi tahun 2021 dan terkini RM86,258.80 bagi tahun 2022.
Program CPSA ini merupakan platform terbaik untuk memaksimakan kesejajaran hala tuju USIM dan IBFIM selaku institusi pendidikan dan latihan yang berteraskan Islam di negara ini. Selain daripada perolehan keuntungan dengan penganjuran bersama program CPSA ini, pengenalan program CPSA sendiri yang merupakan integrasi ilmu aqli dan naqli di antara ilmu muamalat dan syariah boleh dijadikan sebagai salah satu ilmu yang bermanfaat yang akan menjadi bekalan selepas meninggalkan dunia selain amal jariah dan doa anak yang soleh.
Justeru, kerjasama diantara USIM dan IBFIM terutamanya dalam penawaran program CPSA dilihat bukan sahaja berjaya melahirkan tenaga kerja mahir berkaitan audit syariah terutamanya dalam bidang kewangan Islam, bahkan ianya turut menjana pendapatan kepada USIM secara tidak langsung serta memartabatkan gagasan integrasi ilmu aqli dan naqli yang diperjuangkan oleh USIM selama ini. Diharapkan agar kerjasama ini akan terus berkekalan dalam memperkukuhkan profesion audit syariah dalam industri kewangan Islam di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.