Dr. Muhammad Aunurrochim Mas’ad
Dr. Muhammad Aunurrochim Mas’adPensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang (USIM)

Satu ketika salah sebuah syarikat memerlukan modal tambahan sebanyak RM 100,000.00 (saturatus ribu Ringgit Malaysia) dan sebuah bank tempatan bersedia memberikan pinjaman dengan kadar bunga sebanyak 10 peratus. Pihak syarikat bersetuju dengan bayaran balik dibuat dalam masa satu tahun dengan kiraan; jumlah hutang (pinjaman) : RM 100,000.00 Kadar bunga 10 % (1 tahun), Jumlah bayaran balik : RM 100,000.00 + 10 %(100,000.00) = RM 110,000.00.  Kos modal : 10 % atau sebesar RM 10,000.

Kos modal (cost of capital or capital cost) adalah purata keseluruhan kos (biaya) untuk mendapatkan sumber modal bagi sesebuah syarikat. Misalnya kos bagi mendapatkan pinjaman ialah bunga yang dibayar kepada pemberi pinjaman (pemiutang), manakala kos (biaya) bagi mendapatkan saham biasa ialah dividen yang dibayar kepada pemegang saham biasa. Secara umum kos modal dapat diertikan sebagai pembayaran terhadap penggunaan modal.

Dari contoh tersebut didapati syarikat berkenaan terpaksa melepaskan RM 10,000.00 sebagai biaya penggunaan modal kepada pihak bank di atas pinjaman modal yang diberikan. Kadar bunga 10% yang dikenakan terhadap pinjaman wang sebesar RM 100,000.00 dianggap sebagai kos modal oleh peminjam yang ditentukan pada awal transaksi.

Ertinya jumlah kos modal (bunga) yang harus dibayar oleh pihak pengusaha sebagai ganjaran daripada penggunaan modal tersebut sudah dapat diketahui pada awal transaksi tanpa mengambilkira faktor untung dan rugi yang akan dialami oleh pihak peminjam selama menjalani perniagaan. Praktik seumpama ini secara tidak langsung menunjukkan satu elemen ketidakadilan atau kezaliman di satu pihak (peminjam) yang  mengahadapi risiko ketidakpastian pasar sama ada rugi atau sebaliknya dan pada masa yang sama berkewajipan membayar kos modal (bunga/riba).

Memandangkan tidak adanya kepastian usaha atau perniagaan akan memberikan keuntungan yang tetap atau bahkan mengalami kerugian, maka sebagai alternatif yang lebih adil, Islam mengharuskan penetapan kadar kongsisama untung-rugi dari hasil pelaburan yang terlibat menerusi pelbagai bentuk kontrak seperti mudarabah, musharakah ataupun yang lainnya.

Kadar keuntungan yang akan dikongsi bersama oleh kedua-dua pihak hanya dapat diketahui pada akhir tempoh pembiyaan bukan di awal transaksi pembiayaan, dan ia berdasarkan nisbah pembahagian keuntungan yang telah disepakati oleh kedua-dua pihak dan keuntungan yang akan diperoleh.

Berikut adalah contoh perniagaan yang menggunakan konsep kongsi sama untung rugi sebagai alternatif dari kos modal yang ditegah oleh Islam:  Sebuah syarikat memerlukan wang sebanyak RM  100,000 bagi membiayai rprojek  perniagaannya. Bank tempatan bersedia membiayai projek berkenaan secara kongsisama untung-rugi. Setelah kedua-dua pihak berunding, akhirnya mereka bersetuju dengan menetapkan nisbah pembahagian keuntungan pada kadar 60:40, iaitu 60 peratus untuk pihak bank dan 40 peratus untuk pihak syarikat dengan ilutrasi : Jumlah keuntungan (jika berlaku keuntungan) pada akhir tempoh pembiayaan (1 tahun) ialah RM 15,000. Kos modal (biaya pembiayaan) dikira sebagai berikut:  Jumlah keuntungan =RM 15,000. Bahagian pembiaya (pemilik modal) (Bank)    = 60% x RM 15,000 = RM 9000. Bahagian peminjam (pengusaha)         = 40% x RM 15,000 = RM 6000 Jadi kos pembiayaan (kos modal)    = RM 60% x 15,000
RM 100,000      = 9%

Contoh di atas menunjukkan bahawa syarikat telah melepaskan RM 9000 dari jumlah keuntungan yang diperoleh sebagai biaya untuk penggunaan modal sebanyak RM 100,000 atau dengan erti kata lain kos untuk membiayai projeknya ialah 9%. Kos pembiayaan akan menjadi lebih rendah jika nisbah pembahagian keuntungan lebih rendah  Misalnya,  55:45. Kos pembiayaannya adalah (55% x 15,000) : 100,000 = 8.25%.

Sejak bermulanya peradaban manusia riba menjadi satu permasalahan ekonomi dan kewangan dan memberi impak yang amat buruk dalam kehidupan sosioekonomi dan budaya masyarakat. Hal ini lebih disebabkan bunga sebagai kos pembiayaan bagi modal yang dipinjam atau sebagai satu elemen untuk menentukan suatu harga atau mengawal nilai matawang yang cenderung mengalami penyusutan akibat inflasi.

Ramai beranggapan bunga adalah pendapatan yang tidak adil kerana pihak peminjam atau pengelola dana dibebani dengan kewajipan membayar bunga (keuntungan tetap) tanpa mengambilkira kondisi usaha yang tidak pasti dari segi untung dan rugi. Terdapat dua perbezaan yang ketara antara amalan ‘membungakan wang’ dengan perniagaan atau pelaburan. Amalan ‘membungakan wang’ lebih kepada aktiviti usaha yang kurang berisiko, dan bersifat pasti dan tetap.

Manakala pelaburan adalah aktiviti yang mengandungi risiko ketidakpastian dimana besar atau kecilnya pulangan bergantung kepada hasil pelaburan tersebut. Hakikatnya tiada sesiapa yang dapat menjamin bahawa usaha yang dikelola oleh peminjam dapat menghasilkan pulangan 10 peratus jika pihak pemilik dana menentukan bunga pinjaman dalam kadar tersebut.  Riba secara umumnya merupakan lebihan atau tambahan dalam pembayaran balik pinjaman, sama ada ia disyaratkan pada awal kontrak mahupun disebabkan penangguhan pembayaran balik dari tempoh matang yang telah ditetapkan.

Perkara ini banyak diamalkan oleh kebanyakan institusi- kewangan serta bank konvensional. Menurut pendekatan ilmu ekonomi bunga juga bermaksud lebihan pendapatan yang diterima oleh pemiutang daripada penghutang bagi jumlah pinjaman pokok sebagai ganjaran kerana menangguhkan penggunaan atau berpisah daripada modalnya dalam tempoh tertentu. Oleh itu, wujud kemiripan maksud antara riba dengan kos pembiayaan sebagaimana firman Allah (s.w.t) dalam surah al-Rum ayat 39 yang bermaksud: (Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang engkaun berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan berkembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan).

Kesimpulan

Terdapat perbezaan di antara kedua contoh kiraan di atas, iaitu pada contoh kiraan pertama kadar bunga telah ditentukan pada awal transaksi sebesar 10% dari jumlah pinjaman. Jadi sebesar apa pun keuntungan yang diperoleh pihak pengusaha maka kos modal yang mesti dibayar kepada pihak bank tidak melebihi kadar 10% dari jumlah pinjaman, manakala jika berlaku kerugian pihak pengusaha tetap membayar kos modal sebesar kadar bunga tersebut. Berbeza dengan contoh kiraan pertama, pada contoh kiraan kedua kos modal ditentukan berdasarkan dua faktor, pertama, nisbah pembahagian keuntungan dan faktor kedua, jumlah keuntungan yang diperoleh pada akhir tempoh pembiayaan.

Ertinya, Semakin tinggi nisbah kongsisama keuntungan, semakin tinggi kos modal yang mesti dibayar dan sebaliknya semakin rendah nisbah kongsisama keuntungan, semakin kecil pula kos modal yang akan ditanggung oleh pengusaha. Begitu juga besar keuntungan juga mempunyai hubungan langsung dengan kos modal, iaitu semakin besar keuntungan yang diperoleh semakin tinggi kos modal yang dibayar oleh pengusaha, dan kos modal akan menjadi lebih rendah jika jumlah keuntungan semakin menurun.

Dari kedua-dua contoh kiraan di atas dapat disimpulkan bahawa kos modal atau kos pembiyaan tanpa bunga adalah tidak tetap atau berbeza-beza. Perkara yang sedemikian ini dalam sistem ekonomi Islam dikenali sebagai kongsisama untung-rugi atau (profit loss sharing). Manakala penetapan bunga dalam pembiayaan modal dalam sistem ekonomi konvensional dikenali dengan istilah kos modal atau kos pembiayaan yang sifatnya pasti dan ditetapkan di awal transaksi pembiayaan yang biasanya dalam bentuk peratus dari jumlah wang (modal) yang dipinjamkan.