Dr. Mohd Rosmizi Abd Rahman
Dr. Mohd Rosmizi Abd RahmanPensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Baru-baru ini telah tular di media sosial salah faham tentang aktiviti sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi Muslim dari universiti tempatan yang telah melawat komuniti penganut agama Hindu di kuil Hindu. Antara tuduhan melulu yang telah disebarkan (yang hanya berdasarkan interpretasi dari beberapa keping gambar yang tersebar) ialah: bahawa kononnya pelajar tersebut telah menyertai upacara keagamaan agama Hindu dan membuat kesimpulan bahawa aktiviti tersebut tidak wajar dan merosakkan akidah serta menyebar dakyah pluralisme dan lain-lain. Ayat-ayat al-Quran berkenaan kafir, kufur, syirik, neraka dan lain-lain telah dipergunakan untuk menyokong interpretasi melulu tersebut. Bukan setakat itu saja, aktiviti lawatan pelajar ke kuil tersebut juga dikatakan sebagai merbahaya dan mereka diarahkan bertaubat.

Penulis selaku pensyarah Perbandingan Agama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sememangnya telah lama menyertai dan merangka program antara agama turut ditanya oleh kawan-kawan sekerja mengenai penularan isu tersebut. Sekilas pandang kepada gambar-gambar yang ditularkan, penulis terus dapat mengagak bahawa ini adalah salah faham terhadap lawatan akademik/ilmiah atau dialog ilmiah yang sudah biasa dijalankan oleh pelajar yang mengambil subjek-subjek tentang Ilmu Perbandingan Agama, Sosiologi/Antropologi Agama, Sosiologi/Antropologi Dakwah atau apa-apa subjek yang berkaitan dengan agama lain atau masyarakat berbilang kaum.

Antara universiti yang mengajar subjek-subjek ini ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Malaya (UM). Sebagai contoh, USIM menawarkan Program Pengajian Akidah dan Agama di bawah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Melalui program ini, pelajar berpeluang mempelajari empat bidang utama iaitu Akidah, Tasawwuf, Perbandingan Agama dan Falsafah. Menerusi bidang Perbandingan Agama, pelajar akan mempelajari subjek-subjek berkaitan pelbagai agama seperti agama Islam, Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, Tao, Kunfusius, agama moden dan sebagainya. Mereka juga didedahkan dengan pelbagai metod kajian agama, Perbandingan Agama dalam sejarah Islam, program lawatan dan dialog ilmiah antara agama, cara mencapai keharmonian dan keamanan antara agama, pengukuhan toleransi dan cara hidup bersama antara agama dan lain-lain lagi. Progam dan aktiviti sebegini merupakan tambahan yang bermanfaat kepada pembelajaran formal di dalam bilik kuliah.

Alhamdulillah, tidak lama selepas tularnya isu tersebut, kemudiannya pihak universiti pelajar berkenaan telah tampil membuat penjelasan sebenar dan menafikan fitnah serta salah faham yang telah disebarkan sebelum ini. Pihak universiti telah memberi penerangan dengan jelas. Antaranya ialah seperti yang tercatat di blog Islamik Media:

“Program / aktiviti ini adalah kajian lapangan @ penyelidikan pelajar bagi kursus Agama dan Masyarakat (CDA20803), ISM Sains Sosial ( Antropologi dan Dakwah) dengan Kepujian. Setiap pelajar yang mengikuti kursus ini ditugaskan dan diminta untuk membuat kajian lapangan @ penyelidikan mengenai praktis agama dan juga kepercayaan masyarakat.”

Ini menepati rasa gerak hati penulis sewaktu mula-mula mendapat berita kritikan aktiviti tersebut. Iaitu ia sebenarnya adalah aktiviti akademik sebagai pelengkap kepada subjek-subjek berkaitan dan bukanlah mereka menyertai upacara keagamaan seperti tuduhan tersebut. Antara penerangan lain:

“Satu kumpulan mahasiswa seramai 13 orang telah memilih sebuah kuil di Kuala Terengganu untuk menjalankan kajian lapangan / penyelidikan bagi memahami praktis agama Hindu. Aktiviti ini telah mendapat persetujuan pihak kuil dan makanan yang dihidangkan telah disediakan oleh pihak katering Muslim. Mereka hanya terlibat sebagai penyelidik/pemerhati sahaja dalam aktiviti temubual bersama responden. Mereka tidak terlibat langsung dalam mana-mana ritual agama Hindu yang dilakukan di kuil tersebut.”

Keterangan ini sudah cukup jelas untuk menjernihkan salah faham atau kekeliruan sesetengah pihak. Ia juga terus menghakis fitnah yang cuba ditaburkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Jelas lagi nyata bahawa aktiviti lawatan ke kuil tersebut hanyalah antara aktiviti akademik/ilmiah dan penyelidikan pelajar universiti berkenaan. Sebenarnya, inilah adalah antara kelebihan menuntut ilmu di menara gading di mana pelajar bukan sahaja di ajar di dalam dewan kuliah berhawa dingin, malah mereka turut dikehendaki “turun padang”, melihat dan mengambil pengalaman secara “live” tentang ilmu yang mereka pelajari.
Penulis dan rakan-rakan penyelidik juga telah beberapa kali mengunjungi pusat, gereja atau kuil penganut bukan Islam bagi mendapatkan data, informasi tepat tentang tajuk kajian. Bukan setakat itu saja, aktiviti dialog antara agama telah biasa diadakan di institusi pengajian tinggi di mana wakil-wakil penganut agama lain diundang berkongsi ilmu dan pengalaman tentang subjek yang dibincangkan. Kesemua ini akan memupuk sikap toleransi, mahabbah, saling menghormati anatar penganut agama dan seterusnya dapat mengekalkan keharmonian dan keamanan antara agama.

Sebenarnya, aktiviti antara agama ini telah lama berlaku semenjak di zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat dan para tabi’in dan ulama awal lagi. Nabi Muhammad dan para Sahabat telah menunjukkan sikap toleransi antara agama yang begitu tinggi seperti kisah toleransi Nabi Muhammad s.a.w terhadap delegasi Kristian Najran. Sejarah yang tulen telah membuktikan bahawa begitu ramai ulama-ulama Islam telah berkicampung dalam aktiviti antara agama samaada melalui pelbagai penulisan, lawatan dan dialog, toleransi dan sebagainya sehinggakan telah berjaya melahirkan khazanah Ilmu Perbandingan Agama di dunia hatta diiktiraf oleh sarjana Barat.

Antara ulama’ awal yang telah berkicampung dalam Ilmu Perbandingan Agama samaada dengan agama Kristian, Hindu, Yahudi dan sebagainya ialah seperti Abu al-Hudayl al-’Allaf (226/840), Abu ‘Amr Hafs al-Fard (132/749), Abu ‘ali al-Juba’I (179/795), Dirar ibn ‘Amr (184/800), Ya’kub ibn Ishaq al-Kindi (260/873, Ahmad ibn al-Tayyib al-Sarakhsi (287/900), al-Qasim ibn Ibrahim al-Hassan (200/815-211/826), Bishr ibn al-Mu’tamir (210/825), Khalifah Muhammad al-Mahdi (164/781), Hisham ibn al-Hakam (d. 179/796), Ali ibn Musa al-Rida (203/815), Ibn Hazm (560/1064), Abu Bakr al-Baqillani (d. 404/1013). Turut dinukilkan ada antara ulama besar Muslim yang sanggup menjadi penyapu di kuil Hindu semata-mata ingin menuntut ilmu tentang agama Hindu dari pendeta Hindu. Ini adalah antara keihklasan, keterbukaan dan sikap objektif ulama awal dalam memastikan mereka mendapat ilmu dari sumber utama dan secara terus dari sumber atau orang yang diiktiraf oleh agama tersebut.

Pandangan penulis, lawatan dan dialog antara umat beragama dapat menghilangkan rasa saling curiga mencurigai yang selama ini menyelubungi perasaan penganut pelbagai agama. Ini kerana menerusi lawatan dan dialog yang harmoni, masing-masing penganut dapat mengenal dan mengetahui serta memahami selok-belok pegangan dan anutan masing-masing.

Justeru jurang perbezaan fahaman agama yang selama ini merenggangkan antara penganut berlainan agama dapat dirapatkan. Ini akan merintis jalan ke arah bekerjasama dan bertolak ansur. Keadaan harmoni ini akan membantu kita ke arah membina tamadun manusia yang lebih utuh, tanpa kebencian dan peperangan.

Lawatan dan dialog antara agama yang harmoni juga akan dapat memupuk rasa saling menghoramati dan seterusnya mengakhiri dendam kesumat dan permusuhan antara penganut agama yang berlainan. Seterusnya, persatuan dan silatur rahim akan dapat diwujudkan bersama.

Lawatan dan dialog antara agama juga memberi peluang kepada agama yang sering dieksploitasi seperti agama Islam untuk menjelaskan hakikat sebenar kepalsuan tuduhan tersebut dan untuk berkongsi hakikat kecantikan dan keindahan Islam yang sejati kepada penganut agama lain serta kepada seluruh dunia.
Selain itu, lawatan dan dialog antara agama juga merupakan antara wadah terbaik untuk berdakwah dan membimbing manusia ke jalan yang benar dan cara hidup yang lebih baik. Ia juga menjunjung konsep Rahmatan Lil ‘Alamin.

Sebagai kesimpulan, kita perlu berhati-hati dalam membuat hukuman dan dakwaan apatah lagi sekiranya isu itu diluar bidang kita. Kepada masyarakat awam pula, janganlah mudah terpengaruh dengan berita yang ditularkan. Seeloknya kita mengkaji atau bertanya terlebih dahulu. Itulah juga ajaran Islam yang menghendaki kita bertanya kepada orang yang berilmu dan memeriksa dahulu kesahihan sesuatu berita yang disampaikan. Dalam masa yang sama, marilah kita sama-sama menghormati struktur kurikulum dan program atau aktiviti universiti yang mungkin berbeza dengan struktur kurikulum di sekolah atau sedikit berbeza dengan amalan dan fahaman biasa masyarakat awam. Suasana di kampung pendalaman dan di universiti adalah berbeza.

Di peringkat universiti, mahasiswa akan dilatih bukan sahaja di dalam bilik kuliah atau tutorial, tetapi mereka turut dilatih di dalam pelbagai industri dan organisasi dalam dan luar negara, masyarakat dan komuniti berbilang kaum dan agama, ke luar turun padang atau masuk ke hutan, menggunakan teknologi lama, moden dan terkini dan bermacam-macam lagi. Itu semua, antara lain, bagi melahirkan pelajar yang seimbang, berdaya saing, berilmu dan berpengalaman, berkepimpinan dan terkehadapan.